72% rakyat Malaysia jadikan telefon pintar peranti utama akses internet, data sensitif semakin berisiko - Kaspersky | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

72% rakyat Malaysia jadikan telefon pintar peranti utama akses internet, data sensitif semakin berisiko - Kaspersky

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Julai – Telefon pintar kini menjadi peranti utama untuk mengakses internet bagi 72% pengguna di rantau Asia Pasifik (APAC), termasuk Malaysia, sekali gus mengatasi komputer peribadi (PC) sebagai peranti digital utama, menurut tinjauan terbaharu Kaspersky.

 

Namun, syarikat keselamatan siber itu memberi amaran bahawa peningkatan jumlah data sensitif yang disimpan pada telefon pintar tidak diiringi dengan tahap perlindungan keselamatan siber yang sewajarnya, sekali gus mendedahkan pengguna kepada risiko kehilangan data dan serangan siber.

 

Tinjauan yang melibatkan 7,200 responden dari 18 negara itu mendapati 65% pengguna APAC menyimpan foto dan video pada telefon pintar, diikuti maklumat kenalan (57%), mesej teks serta sejarah perbualan (50%), manakala 49% menyimpan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, pasport dan dokumen insurans.

 

Telefon pintar juga semakin menjadi platform utama bagi urusan kerja dan kewangan apabila 47% responden menyimpan e-mel kerja, 31% menyimpan kalendar kerja, 38% menyimpan maklumat perbankan dan 34% menyimpan kata laluan serta maklumat log masuk. Selain itu, 27% turut menyimpan sejarah perbualan dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI).

 

Di Malaysia, pengguna didapati lebih cenderung menyimpan pelbagai maklumat berbanding purata APAC, termasuk e-mel kerja (52%), nota dan peringatan (46%), maklumat pembelian (49%), sejarah perbualan AI (31%) serta akses kepada sistem kerja (22%), mencerminkan peranan telefon pintar yang semakin penting dalam kehidupan peribadi dan profesional.

 

Pakar keselamatan siber Kaspersky, Anton Kivva berkata, telefon pintar kini berfungsi sebagai pembantu digital yang mengurus hampir setiap aspek kehidupan pengguna, menyebabkan persoalan utama bukan lagi mengenai jenis data yang disimpan, tetapi sejauh mana data tersebut dilindungi daripada ancaman siber.

 

Kapersky

 

Tiga langkah lindungi data daripada ancaman siber
 

1. Jangan simpan data penting hanya dalam telefon pintar

Beliau berkata, pengguna tidak seharusnya menjadikan telefon pintar sebagai satu-satunya tempat menyimpan data penting. Sebaliknya, maklumat perlu disandarkan secara berkala menerusi storan awan atau medium lain bagi mengelakkan kehilangan kekal sekiranya telefon rosak, hilang atau data dipadam secara tidak sengaja.

Maklumat yang sangat sensitif seperti kata laluan, dokumen pengenalan diri dan butiran kewangan pula wajar disimpan dalam platform yang dilindungi seperti pengurus kata laluan yang menawarkan peti simpanan digital selamat serta penyegerakan merentas pelbagai peranti.

 

2. Lengkapkan telefon pintar dengan perlindungan keselamatan siber

Kaspersky turut mengesyorkan pengguna melengkapkan telefon pintar dengan penyelesaian keselamatan siber yang mampu mengimbas aplikasi ketika dipasang, mengesan ancaman lebih awal serta menyekat pautan berniat jahat dan serangan pancingan data (phishing) secara masa nyata.

Di Malaysia sahaja, syarikat itu menyekat lebih 18.8 juta ancaman siber berasaskan web sepanjang 2025, bersamaan purata lebih 51,000 cubaan serangan setiap hari.

 

3. Sediakan pelan sekiranya telefon hilang

Selain itu, pengguna disaran mengaktifkan perkhidmatan lokasi untuk mengesan telefon yang hilang, membuat sandaran automatik, menetapkan fungsi kunci automatik sebaik sahaja skrin ditutup serta memastikan peranti tidak ditinggalkan tanpa pengawasan di tempat awam.

 

Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik, Adrian Hia berkata, telefon pintar kini menjadi pusat pengurusan kewangan, pekerjaan, memori peribadi dan penggunaan aplikasi AI harian, menyebabkan kesan kehilangan akses kepada peranti atau kompromi keselamatannya menjadi semakin besar.

 

Kajian yang dijalankan oleh pusat penyelidikan pasaran Kaspersky pada Mac 2026 itu melibatkan 7,200 responden dari 18 negara termasuk Malaysia, Brazil, China, India, Indonesia, Thailand, Vietnam, Turkiye, Arab Saudi, Jerman, Perancis, Itali, Sepanyol, Mexico, Colombia, Mesir, Afrika Selatan dan Rusia. - DagangNews.com