KUALA LUMPUR 29 Jan – Sebanyak 71 jenama makanan dan minuman (F&B) dari luar negara telah didaftarkan untuk beroperasi di Malaysia setakat 31 Disember 2025.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata jumlah itu mewakili 42% daripada keseluruhan 170 jenama yang tersenarai dalam daftar nasional.
“Kerajaan sedar tentang cabaran yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutamanya dalam sektor francais, susulan kemasukan syarikat antarabangsa yang menawarkan produk pada harga lebih rendah.
“Jenama dari luar negara ini mempunyai kelebihan dari segi skala operasi dan rantaian bekalan global, yang boleh memberi tekanan kepada perniagaan tempatan,” kata KUSKOP.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pertimbang peraturan lebih ketat terhadap jenama F&B asing untuk lindungi PKS tempatan, Parlimen diberitahu
Kementerian itu menjawab soalan yang dikemukakan Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang ingin mengetahui mekanisme kerajaan untuk melindungi pemain ekonomi tempatan daripada persaingan sengit di Parlimen.
KUSKOP menegaskan hanya permohonan jenama yang benar-benar layak dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara sahaja akan diluluskan untuk pendaftaran tersebut.
“Ini adalah usaha kerajaan untuk menyeimbangkan kepentingan syarikat tempatan dengan kemasukan pemain antarabangsa, bagi memastikan persaingan sentiasa adil.
“Selain melaksanakan pemantauan berterusan, KUSKOP juga telah melaksanakan pelbagai program untuk memperluas pasaran produk PMKS tempatan,” jelas kementerian itu.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penstriman langsung (live-streaming) dan penyediaan kemudahan studio percuma melalui kerjasama antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop, bertujuan meningkatkan jualan usahawan.
Kementerian turut menekankan peranan platform MyMall oleh Perbadanan Nasional Berhad yang menyediakan ruang pemasaran dalam talian percuma untuk produk dan perkhidmatan PMKS, membolehkan mereka mencapai lebih ramai pelanggan.
“Semua langkah tersebut diharap dapat mengukuhkan daya saing PMKS tempatan dan memastikan jenama F&B dari luar negara yang beroperasi di Malaysia memberikan sumbangan positif kepada ekonomi tempatan,” kata kementerian itu. - DagangNews.com








