3D Energi sahkan penemuan gas baharu di Australia, tingkat potensi nilai strategik pelaburan Hibiscus Petroleum | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

3D Energi sahkan penemuan gas baharu di Australia, tingkat potensi nilai strategik pelaburan Hibiscus Petroleum

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 14 Jan – 3D Energi Ltd, syarikat yang 7.43% kepentingannya dimiliki oleh Hibiscus Petroleum Bhd, mengesahkan penemuan gas tidak dijangka di lapisan batu pasir Waarre C, Charlemont Trend, Lembangan Otway di Australia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Sekuriti Australia (ASX), 3D Energi berkata, penemuan gas itu dibuat selepas sampel gas representatif berjaya diperoleh daripada lapisan nipis batu pasir Waarre C semasa Fasa 1 Program Penggerudian Eksplorasi Otway.

 

Telaga Charlemont-1 terletak dalam permit penerokaan VIC/P79 di luar pesisir Lembangan Otway.

 

Bagi permit berkenaan, 3D Energi memegang 20% kepentingan penyertaan manakala ConocoPhillips Australia bertindak sebagai pengendali dengan 51% kepentingan dan Korea National Oil Company (KNOC) memegang baki 29% kepentingan.

 

Charlemont-1 merupakan penemuan gas kedua di bawah Program Penggerudian Eksplorasi Otway, susulan penemuan Essington sebelum ini.

 

Menurut 3D Energi, telaga Charlemont-1 kini akan ditutup dan ditinggalkan mengikut Pelan Alam Sekitar penggerudian yang diluluskan, sekali gus menamatkan Fasa 1 program berkenaan.

 

Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan analisis dan penilaian lanjut masih diperlukan bagi menentukan kebolehlaksanaan komersial penemuan gas Fasa 1, dan setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung peralihan ke fasa pembangunan.

 

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Eksekutif 3D Energi, Noel Newell berkata, Fasa 1 Program Penggerudian Eksplorasi Otway telah mengenal pasti sumber gas asli baharu yang penting, terletak berhampiran infrastruktur pengeluaran dan pemprosesan gas luar pesisir sedia ada di Lembangan Otway yang membekalkan pasaran gas domestik Australia.

 

“Penemuan ini meningkatkan kepentingan strategik projek berkenaan dan menyokong pilihan pembangunan pada masa hadapan, tertakluk kepada penilaian teknikal dan komersial lanjut, selaras dengan objektif syarikat untuk menyumbang bekalan gas baharu kepada pasaran Pantai Timur yang semakin ketat,” katanya.

 

Sementara itu, 3D Energi memaklumkan terdapat potensi untuk menggerudi telaga tambahan sebagai Fasa 2 Program Penggerudian Eksplorasi Otway di bawah Pelan Alam Sekitar yang telah diluluskan. 

 

Namun, tiada keputusan dimuktamadkan pada peringkat ini dan sebarang langkah seterusnya bergantung kepada hasil penilaian lanjut. - DagangNews.com