201 Pembantu Keselamatan Penerbangan tamatkan latihan asas - Malaysia Airports | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

201 Pembantu Keselamatan Penerbangan tamatkan latihan asas - Malaysia Airports

201 anggota baharu Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Skuad 31/2025 mengabadikan kenangan bersama Ketua Polis Negara dan barisan pengurusan tertinggi Malaysia Airports di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas di Perkarangan Kompleks Bunga Raya, KLIA
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan – Ekosistem keselamatan penerbangan negara terus diperkukuh dengan penambahan 201 anggota baharu Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Skuad 31/2025 yang berjaya menamatkan latihan asas intensif secara bersepadu di Pusat Latihan Polis Air Hitam (PULAPAH), Negeri Sembilan dan School of Aviation Security, Malaysia Airports Academy.

 

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas ini berlangsung di Perkarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor dan disempurnakan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Airports.

 

Hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Selangor Datuk Pahlawan Shazeli Kahar; Pengerusi Malaysia Airports Dr. Nungsari Ahmad Radhi serta Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani.

 

Dalam satu kenyataan, MAHB memaklumkan sebagai pengendali rangkaian lapangan terbang utama negara, Malaysia Airports menekankan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan setiap lapangan terbang terjamin dan diyakini oleh semua pihak.

 

“Keselamatan yang kukuh dianggap sebagai pemangkin utama pertumbuhan industri penerbangan dan menjadi prasyarat kepada pertumbuhan yang mampan di seluruh negara,” katanya.

 

Pada 2025, Malaysia Airports telah mengendalikan hampir 105 juta penumpang di seluruh Malaysia, meningkat 11% berbanding tahun sebelumnya. 

 

t
Ketua Polis Negara memeriksa baris seramai 201 Pelatih Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan), Malaysia Airports di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas yang diadakan di Perkarangan Kompleks Bunga Raya, KLIA

 

t

 

MAHB berkata pertumbuhan ini dijangka berterusan pada Tahun Melawat Malaysia 2026, seiring dengan keperluan keselamatan yang lebih tinggi dan semakin kompleks.

 

“Program Latihan Asas ini dirangka untuk melahirkan anggota keselamatan yang berdaya tahan, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan global.

 

“Sepanjang tempoh enam bulan, semua pelatih menjalani latihan berstruktur merangkumi disiplin dan latihan luar, akademik serta kecekapan khusus yang mencerminkan tahap profesionalisme tinggi yang menjadi teras operasi keselamatan Malaysia Airports,” katanya.

 

Majlis Tamat Perbarisan Latihan Asas ini turut menyaksikan penyampaian sijil tamat latihan serta pelantikan rasmi pelatih sebagai Polis Bantuan Malaysia Airports.

 

Selain itu, pengiktirafan khas turut diberikan kepada pelatih terbaik dalam beberapa kategori termasuk akademik, latihan luar serta keseluruhan latihan asas.

 

Malaysia Airports menegaskan komitmen berterusan dalam pelaburan pembangunan modal insan keselamatan sebagai komponen kritikal untuk menjamin keselamatan penumpang dan melindungi infrastruktur strategik.

 

Langkah ini juga selaras dengan aspirasi negara untuk mengekalkan keyakinan industri penerbangan global serta memastikan Malaysia terus menjadi hab penerbangan serantau bertaraf dunia.

 

t
Pelatih-pelatih terbaik dalam bidang latihan luar, akademik dan keseluruhan bersama anugerah yang diperolehi mereka di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Malaysia

 

SENARAI PENERIMA ANUGERAH KHAS 

1. TERBAIK DALAM BIDANG AKADEMIK - Konstabel PB Fatin Nur Aina Alisya binti Azeli

2. TERBAIK DALAM BIDANG LATIHAN LUAR (LELAKI) - Konstabel PB Danish Adha bin Masrizal 

3. TERBAIK DALAM BIDANG LATIHAN LUAR (WANITA) - Konstabel PB Aina Shafiza binti Tajudin 

4. PELATIH TERBAIK KESELURUHAN LATIHAN ASAS PEMBANTU KESELAMATAN PENERBANGAN - Konstabel PB Muhammad Shafi q Haikal bin Kasim. - DagangNews.com