SHAH ALAM 17 Mac - Seramai 171 jemaah menyertai majlis Khatam Al-Quran Perdana yang dianjurkan Surau Platinum Al-Mawaddah, Seksyen 7 di sini pada Isnin, sebagai kemuncak sesi tadarus sepanjang bulan Ramadan sejak 1 Ramadan lalu.
Peserta terdiri daripada 80 jemaah muslimin, 84 muslimat serta 18 petugas yang membantu kelancaran majlis.
Pemangku Pengerusi surau, Haji Khairuddin Zakaria berkata, penganjuran majlis itu bertujuan melahirkan umat Islam yang lebih dekat dan cintakan al-Quran, selari dengan semangat penghayatan Ramadan.
Menurut beliau, majlis tersebut turut mencerminkan komitmen komuniti setempat dalam mengimarahkan institusi surau melalui penglibatan aktif jemaah.
“Program ini merupakan kemuncak kepada sesi tadarus yang telah berjalan sejak awal Ramadan, dan ia menjadi platform untuk memperkukuh hubungan ukhuwah dalam kalangan kariah,” katanya kepada DagangNews.

Majlis berkenaan diketuai oleh Imam Ahmad Sarafi Ali Asrah dan berlangsung hampir tiga jam selepas solat tarawikh.
Haji Khairuddin berkata, acara khatam al-Quran Perdana itu juga merupakan acara tahunan Surau Platinum Al-Mawaddah yang diadakan setiap kali Ramadan sebagai satu daripada pengisian utama program kerohanian.


Sepanjang bulan Ramadan, surau tersebut turut menganjurkan pelbagai aktiviti lain termasuk iftar, solat berjemaah, solat tarawih, moreh, sahur, qiyamulail, tazkirah tarawih serta kuliah Subuh.
Selain itu, inisiatif kebajikan turut dilaksanakan melalui Program Ramadan Sumbangan Bakul Makanan di dua lokasi iaitu Flat Andora, Sri Muda, Seksyen 25 dan Flat Rimba Jaya, Padang Jawa, serta Misi Kemanusiaan Ambang Ramadan di Kampung Sungai Ruai.
Penganjuran pelbagai program itu mencerminkan usaha berterusan Surau Platinum Al-Mawaddah dalam memperkukuh peranan surau sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan komuniti setempat. - DagangNews.com








