13 Pengerusi Panel Penasihat NADI baharu dilantik di Pulau Pinang - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

13 Pengerusi Panel Penasihat NADI baharu dilantik di Pulau Pinang - Fahmi

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Sept – Usaha kerajaan memperkukuh akses digital rakyat terus diperkasa apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti, sekali gus menandakan pertambahan sebuah lagi NADI di Pulau Pinang di bawah inisiatif “1 DUN 1 NADI”.

 

Melalui inisiatif ini, sebanyak 39 buah NADI baharu telah dibangunkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain tiga pusat sedia ada.

 

Dengan itu, keseluruhan 42 buah NADI kini beroperasi di negeri tersebut untuk manfaat rakyat.

 

Dalam majlis sama, Fahmi turut menyampaikan surat pelantikan kepada 13 Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi setiap kawasan Parlimen di Pulau Pinang.

 

Pelantikan itu penting untuk memastikan pengurusan serta operasi NADI dipantau dengan lebih tersusun, sekali gus menjamin manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.

 

Sehingga Mei 2025, NADI di Pulau Pinang berjaya menarik seramai 10,827 ahli dan mencatatkan 17,743 penyertaan dalam pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar, menggambarkan sambutan positif rakyat negeri ini terhadap usaha kerajaan.


 

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)

 


Program perasmian turut dimeriahkan dengan penganjuran Hari Bersama Komuniti (HBK) yang menghimpunkan pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar, pameran dan jualan usahawan NADI, pertandingan NADI e-Sukan MADANI Legend, selain penyertaan pelbagai agensi kerajaan.

 

Menurut Fahmi, NADI bukan sekadar pusat akses digital, sebaliknya berperanan sebagai hab perpaduan sosial dan digital di peringkat akar umbi, selaras dengan agenda kerajaan memperkukuh masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing.

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa serta Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. - DagangNews.com