13 pemaju menang bidaan solar LSS5+ dengan potensi pelaburan cecah RM6 bilion - PETRA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

13 pemaju menang bidaan solar LSS5+ dengan potensi pelaburan cecah RM6 bilion - PETRA

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) telah menerima surat aku janji daripada 13 pemaju projek di bawah Program LSS Petra 5+ (Large Scale Solar Energy Transition SuRiA Additional Round Five).

 

Para pemaju projek ini dipilih melalui proses bidaan terbuka yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga, berdasarkan tawaran kompetitif serta pematuhan kepada kriteria yang telah ditetapkan.

 

Keputusan bidaan terbuka yang diumumkan pada 2 September lalu menyaksikan 13 pembida berjaya memperoleh kuota bagi membangunkan loji jana kuasa solar berskala besar (LSS) di seluruh negara.

 

Loji-loji tersebut dijangka mula beroperasi seawal tahun 2027.

 

Projek-projek ini dianggarkan mempunyai potensi pelaburan lebih RM6 bilion dan dijangka dapat mewujudkan sehingga 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu (RE) tempatan,” kata Petra dalam satu kenyataan pada Rabu.

 

Menurut kementerian, penyerahan surat aku janji berkenaan mencerminkan komitmen pemaju untuk melaksanakan serta menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan, di samping memastikan pematuhan kepada jadual projek.

 

Senarai pemaju yang diluluskan termasuklah Equinox Solar Farm Sdn Bhd; Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd dan Konsortium TIZA Global Sdn Bhd; Konsortium Fabulous Sunview Sdn Bhd dan Cypark Renewable Energy Sdn Bhd; Konsortium Malakoff Corporation Bhd dan Solarvest Holdings Bhd; serta Leader Energy Ventures Sdn Bhd.

 

Sejak dilancarkan pada tahun 2016, program LSS telah menjadi pemacu utama pembangunan industri TBB di Malaysia.

 

Setakat ini, sebanyak 121 projek LSS telah diluluskan dengan jumlah kapasiti 6,228 megawatt serta nilai pelaburan dianggarkan melebihi RM21 bilion.

 

“Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan matlamat kementerian untuk meningkatkan perkongsian RE dalam campuran bekalan elektrik negara kepada 70% menjelang 2050, sekali gus menyokong komitmen pengurangan karbon sektor tenaga, agenda kelestarian Malaysia Madani, serta pertumbuhan ekonomi hijau negara,” jelas kementerian itu. - DagangNews.com