KUALA LUMPUR 13 Okt - Sumbangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) serta e-dagang kepada ekonomi negara mencatatkan 23% dengan nilai RM412.3 bilion berbanding 23.2% atau RM359.3 bilion pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sumbangan itu terdiri daripada Nilai Ditambah Kasar Industri TMK (NDKTMK) sebanyak 13.6% dan e-dagang bagi industri lain sebanyak 9.4%.
Beliau berkata, TMK dan e-dagang mencatatkan peningkatan 14.8% berbanding 12.2% pada tahun sebelumnya.
Katanya, NDKTMK merekodkan RM243.7 bilion dengan mencatatkan pertumbuhan 12.4% berbanding 7.8% pada tahun sebelumnya.
"Pertumbuhan ini disokong oleh industri pembuatan TMK yang bertumbuh lebih baik sebanyak 21.3% berbanding 11% pada tahun 2021.
"Komponen & papan elektronik, peralatan komunikasi dan elektronik pengguna kekal sebagai penyumbang utama kepada industri Pembuatan TMK sebanyak 35.7%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata, nilai ditambah kasar e-dagang merekodkan RM239.1 bilion dengan pertumbuhan 18.9% pada tahun 2022 berbanding 22.7% pada tahun sebelumnya.

Katanya, sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 13.3% merangkumi e-dagang bagi industri TMK 3.9% dan e-dagang industri lain, 9.4%.
"Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dalam nilai ditambah kasar e-dagang dengan sumbangan 53.4% diikuti oleh sektor perkhidmatan, 43%," katanya.
Sementara itu, guna tenaga dalam industri TMK bertumbuh 1% kepada 1.22 juta orang pada tahun 2022, dengan sumbangan sebanyak 7.9% kepada keseluruhan guna tenaga.
Sumbangan ini diterajui oleh sektor pembuatan TMK sebanyak 36.1%, diikuti oleh sektor perkhidmatan TMK (29.3%) dan sektor perdagangan TMK (21.7%). - DagangNews.com








