Taraf saranan Apex Equity disemak naik kepada 'Beli', TP baharu RM1.35 sesaham - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taraf saranan Apex Equity disemak naik kepada 'Beli', TP baharu RM1.35 sesaham - TA Securities

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Julai - TA Securities menaik taraf saranan Apex Equity Holdings Bhd kepada 'Beli' daripada 'Jual' dengan harga sasaran RM1.35 sesaham berbanding RM1.19 sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Apex menetapkan matlamat yang bercita-cita tinggi untuk mempelbagaikan dan meningkatkan aliran pendapatan pembrokerannya dengan ketara yang pada masa ini, segmen runcit menguasai 90% pendapatan pembrokeran.

 

Katanya, untuk mencapai campuran pendapatan yang lebih seimbang, Apex menyasarkan untuk mengembangkan penawaran institusinya, menyasarkan sumbangan 50% daripada jualan runcit dan institusi.

 

"Strategi utama termasuk memanfaatkan rangkaian luas Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad bagi menembusi pangkalan pelanggan institusi dengan berkesan. 

 

FARHASH
FARHASH WAFA SALVADOR 

 

"Apex juga memperkukuh pasukan jualan institusinya dan mengukuhkan sokongan untuk jabatan penyelidikan. Sambil mengiktiraf sifat daya saing dan margin kecil dalam segmen institusi, pengurusan optimis tentang potensi peningkatan volum dagangan dalam sektor ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut TA Securities, memandangkan persaingan sengit yang dihadapi oleh segmen runcit daripada platform dagangan dalam talian baharu seperti Moomoo dan Rakuten Trade, keputusan untuk mengukuhkan kehadirannya dalam segmen institusi adalah cukup strategik. 

 

Kata firma itu, platform ini menawarkan yuran pembrokeran yang rendah hingga sifar, tidak memerlukan deposit dan menyediakan insentif seperti saham pecahan percuma untuk menarik pengguna baharu. 

 

Walaupun begitu, jelasnya, Apex tetap komited untuk mengekalkan dan mengembangkan asas runcitnya yang kukuh.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Firma audit Crowe disingkirkan pada AGM Apex Equity susulan pendapat mengenai pinjaman kepada penghutang projek kerajaan

 

"Untuk mencapai matlamat ini, Apex merancang untuk meningkatkan rangkaian remisiernya, pada masa ini pada tahap 80, dan menyasarkan individu bernilai tinggi (HNW). 

 

"Usaha juga akan tertumpu kepada menurunkan profil umur remisier. Insentif untuk remisier termasuk komisen kompetitif dan hadiah menarik untuk memupuk persaingan yang sihat. 

 

"Selain itu, Apex menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian cawangannya melangkaui enam cawangan semasa, ke pelbagai lokasi strategik lain di seluruh negara, seperti Melaka, Johor Bahru, Pulau Pinang, Lembah Klang, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak," jelasnya.

 

Sementara itu, TA Securities berkata, walaupun pengurusan agresif mengembangkan perniagaan pembrokeran saham, termasuk mengukuhkan jualan institusi dan menubuhkan bahagian kewangan korporat untuk meningkatkan perkhidmatan sampingan, terdapat potensi implikasi kewangan untuk dipertimbangkan. 

 

"Kami percaya bahawa inisiatif ini dijangka menanggung perbelanjaan overhed yang lebih tinggi, terutamanya dalam pemodenan IT untuk sistem termaju yang menyokong alat berbilang platform, e-boarding pelanggan dan peralihan kepada operasi tanpa kertas. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan peningkatan dalam kos kakitangan," ujarnya.

 

Sementara itu, kata TA Securities, RM55 juta daripada penjualan Menara Apex boleh membantu merangsang inisiatif pertumbuhan dan kumpulan itu juga masih memegang tiga aset tanah bernilai RM80-RM90 juta, walaupun pada masa ini ia tidak dijadualkan untuk dijual. 

 

Namun begitu, katanya, fasa pengembangan semasa kumpulan itu menunjukkan bahawa pelaksanaan dasar dividen tidak mungkin dalam tempoh terdekat.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan pada anggaran pendapatan buat masa ini, sementara menunggu pengumuman keputusan suku kedua 2024 yang akan dating," katanya. - DagangNews.com