Taman Komuniti Putra Heights komitmen Sime Darby Property kepada pemeliharaan alam semula jadi di bandar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taman Komuniti Putra Heights komitmen Sime Darby Property kepada pemeliharaan alam semula jadi di bandar

Sebanyak 442 pokok termasuk tumbuhan terancam ditanam di Taman Komuniti Putra Heights.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Feb - Sime Darby Property Berhad siap membina Taman Komuniti Putra Heights di tapak berkeluasan 3.07 hektar yang menyediakan ruang awam kepada lebih 30,000 penduduk perbandaran itu yang terletak di selatan Subang Jaya.

 

Selain menjadi lokasi riadah keluarga, sebanyak 442 pokok yang terdiri daripada 30 spesies termasuk tumbuhan terancam yang diiktitraf Kesatuan Antarabangsa untuk Pemeliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) ditanam di taman tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Hartanah Sime Darby Property, Datuk Ir. Mohd Sohimin Mohd Alayedin berkata, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti mampan merupakan keazaman berterusan syarikat itu.

 

Katanya, menjadi matlamat Sime Darby Property dalam membangunkan keperluan perbandaran yang menyediakan kemudahan awam berkualiti tinggi termasuk ruang awam yang sangat penting untuk kesejahteraan komuniti. 

 

"Sime Darby Property mengutamakan kemampanan dalam semua yang kami lakukan. Kami kekal komited dalam menjaga dan memulihara alam sekitar bermula dari pembangunan kami,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Taman Komuniti Putra Heights dibina dengan konsep keterangkuman yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) termasuk laluan pejalan kaki yang mesra kerusi roda.

 

Menurut Sime Darby Property, taman ini juga dilengkapi dengan lampu LED solar yang memanfaatkan sumber semula jadi untuk menjana tenaga. 

 

put2
Ir. Mohd Sohimin Mohd Alayedin (empat dari kiri) pada majlis perasmian Taman Komuniti Putra Heights baru-baru ini yang turut dihadiri Datuk Bandar MBSJ, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dan ADUN Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

 

 

Majlis perasmian taman berkenaan berlangsung baru-baru ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dan ADUN Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

 

Projek terbaru Sime Darby Property di Putra Heights merupakan Pembangunan Berorientasikan Transit yang pertama dan merangkumi Serasi Residences yang dijangka siap menjelang 2026.

 

Serasi Residences turut menawarkan unit apartmen servis mampu milik seluas 550 kaki persegi dan dijual pada harga RM250,000. - DagangNews.com