TA Securities ramal untung Pantech Group meningkat sehingga RM28 juta pada 4QFY24 | DagangNews Skip to main content

TA Securities ramal untung Pantech Group meningkat sehingga RM28 juta pada 4QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - TA Securities meramalkan keuntungan Pantech Group Holdings Bhd pada 4QFY24 meningkat sehingga RM28 juta berbanding RM20.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong peningkatan permintaan daripada projek minyak dan gas (O&G) tempatan serta eksport.

 

Katanya, ia mewakili 25% hingga 29% daripada ramalan tahun penuh mereka.

 

Kumpulan itu juga dijangka terus mengisytiharkan dividen 1.5 sen bagi setiap saham pada suku tersebut, menjadikan dividen sesaham (DPS) FY24 kepada 6.0 sen, diterjemahkan kepada hasil dividen yang menarik sebanyak 6%.

 

"Sektor O&G kekal sebagai penyumbang utama kepada kumpulan kerana ia secara konsisten membentuk lebih daripada 50% hasilnya.

 

"Dengan jangkaan harga minyak kukuh berikutan pemotongan pengeluaran oleh OPEC+ selain permintaan yang lebih kukuh disokong aktiviti pembuatan di China dan Amerika Syarikat (AS) berkembang buat kali pertama pada Mac 2024 dan ketegangan geopolitik di Asia Barat akan memacu permintaan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, mereka yakin terhadap prospek kumpulan itu didorong harga minyak yang berdaya tahan menggalakan perbelanjaan modal bagi aktiviti huluan selain perkembangan segmen hiliran kesan daripada sokongan dasar.

 

Katanya, di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kerajaan berhasrat meningkatkan rantaian nilai Malaysia kepada bahan kimia khusus daripada bahan kimia asas, manakala Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030 dijangka meningkatkan nilai tambah kasar sektor itu kepada ekonomi keseluruhan kepada lebih daripada 4.5% menjelang 2030.

 

Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dijangka memperoleh pelaburan bernilai RM60 bilion dalam fasa tiga antara 2026 dan 2031, termasuk untuk pembinaan kilang penapisan bio dan kemudahan mengeluarkan produk berkaitan nitril.

 

"Pantech merupakan penerima manfaat utama kerana kumpulan itu adalah peneraju pasaran dalam perniagaan paip, injap dan pemasangan di Malaysia," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.18 sesaham. - DagangNews.com