KUALA LUMPUR 7 Mei - Misi perdagangan dan pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), berjaya menarik pelaburan berjumlah RM2.16 bilion ke Malaysia.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai misi itu bermula 26 April hingga 4 Mei 2021.
Malah, ia menyaksikan komitmen kedua-dua negara untuk terus mempertingkatkan hubungan unik dengan Malaysia ke tahap lebih strategik, khususnya dalam bidang dagangan dan pelaburan.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, dari segi potensi pelaburan, UAE menyatakan komitmen dalam tempoh terdekat untuk melabur sejumlah RM200 juta di negara ini.
"Pada masa sama, syarikat-syarikat di UAE turut menunjukkan komitmen untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM833.5 juta, yang akan direalisasikan dalam beberapa tahun akan datang.
"Mereka juga komited untuk membeli barangan Malaysia berjumlah RM470 juta," katanya hari ini.
Jelas kementerian itu, antara pencapaian penting misi ke Arab Saudi itu adalah komitmen kukuh negara tersebut untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia.
Misi berkenaan turut menekankan komitmen untuk menjadikan Arab Saudi sebagai hab pengedaran minyak sawit Malaysia dan produk makanan berasaskannya bagi rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).
Di samping itu, ia menyokong dasar rantau itu bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan.
"Misi ini juga bertepatan pada masanya kerana sejajar dengan dasar pelaburan baharu Malaysia yang komprehensif iaitu Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang bakal dilancarkan.
“Ini merangkumi pembaharuan holistik agenda pelaburan Malaysia yang menekankan teknologi tinggi dan inovasi dengan menumpukan keseimbangan antara ekonomi dan alam sekitar secara mapan berteraskan penanda aras alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global,” katanya. - DagangNews.com








