Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jun - Surat kelulusan untuk perniagaan beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.
Ini berikutan terdapat kementerian dan institusi lain pada masa ini menggunakan sistem masing-masing yang terbukti berkesan untuk kumpulan sasaran mereka dalam mengeluarkan surat kelulusan seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menekankan MITI bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.

“Sehingga kini, 15 kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing. Setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan berkenaan, syarikat yang berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.

“Namun, terdapat juga beberapa kementerian seperti MAFI dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI. Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.
“BNM juga bertanggungjawab di atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seiring penguatkuasaan ‘lockdown’ di dalam negara, semua aktiviti ekonomi dan sosial tidak dibenarkan kecuali bagi 17 senarai perkhidmatan perlu dengan kapasiti tenaga kerja dihadkan kepada 60%.

Sektor-sektor yang dibenarkan untuk beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) meliputi Pembuatan; Pertanian, Perikanan, Penternakan, Perladangan dan Komoditi; Pembinaan; dan Perdagangan Pengedaran.
Susulan itu, sidang khas MKN pada 31 Mei lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa permohonan baharu bagi kebenaran perjalanan untuk bekerja perlu dikemukakan semula melalui portal CIMS 3.0 yang diselaraskan oleh MITI.
Ini melibatkan semua kementerian yang mengawal selia 17 sektor perkhidmatan perlu yang telah dibenarkan beroperasi.
Kata Mohamed Azmin lagi, kenyataan MKN itu turut memaklumkan bahawa surat kebenaran beroperasi bagi sektor perkhidmatan perlu dikeluarkan setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor berkenaan.
Ini membuktikan bahawa surat kebenaran beroperasi hanya akan dikeluarkan oleh CIMS 3.0 setelah kementerian-kementerian terbabit memberi pengesahan kepada MITI, katanya lanjut.
“Sehingga 7.30 pagi ini (3 Jun 2021), 586,308 (syarikat) dengan 10.2 juta pekerja telah berdaftar dengan CIMS.
“Daripada jumlah ini, surat kebenaran beroperasi yang telah dicetak melalui CIMS hanya 128,150 (syarikat) yang melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia,” ujar Mohamed Azmin.
Dalam perkembangan lain, ujar Mohamed Azmin, MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem tersebut.
Ini selepas kementerian itu menerima aduan beberapa pihak yang mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ‘lockdown’. - DagangNews.com








