KUALA LUMPUR 27 Nov - Bahagian pertama sukuk murabahah OCK Group Bhd bernilai RM400 juta telah terlebih langgan sebanyak 1.33 kali.
Dalam satu kenyataan hari ini, OCK berkata terbitan berkenaan adalah di bawah program murabahah sukuk bernilai RM700 juta dan diakreditasi dengan penarafan kredit AA- oleh MARC Ratings Bhd.
Di bawah bahagian pertama ini, pembekal rumusan rangkaian telekomunikasi itu berkata kadar keuntungan bagi bahagian RM100 juta yang matang dalam tempoh lima tahun bernilai 5.21%, manakala bahagian RM300 juta untuk tujuh tahun lagi pada 5.38%.
“Hasil yang diperoleh akan disalurkan kepada penstrukturan semula pinjaman mata wang asing kumpulan, sekali gus membolehkan penjimatan ketara dalam faedah dan mengurangkan tekanan kadar pertukaran mata wang asing yang tidak menentu.
“Ini juga akan memberikan OCK modal tambahan untuk melaksanakan projek baharu secara strategik, memperkukuhkan lagi kehadiran dan kedudukannya dalam segmen telekomunikasi,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan OCK, Datuk Sam Ooi Chin Khoon berkata sambutan yang menggalakkan, seperti yang ditunjukkan oleh kadar lebihan langganan, menandakan keyakinan terhadap OCK serta keupayaannya untuk menyampaikan nilai jangka panjang.

Tambahnya, ini disokong oleh aliran kukuh pendapatan berulang daripada kedua-dua perkhidmatan rangkaian telekomunikasi dan aset tenaga boleh diperbaharui solar.
“Pada masa yang sama, kami akan terus meneroka peluang baharu secara aktif agar terus memacu pertumbuhan dalam segmen perniagaan kami untuk bersaing dengan permintaan yang menggalakkan dalam 5G serta tenaga boleh diperbaharui,” tambahnya. - DagangNews.com







