Solarvest siap sepenuhnya projek tenaga solar 8.9 MWp kilang tisu NTPM bernilai RM27 juta | DagangNews Skip to main content

Solarvest siap sepenuhnya projek tenaga solar 8.9 MWp kilang tisu NTPM bernilai RM27 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April - Solarvest Holdings Bhd menyerahkan projek berkapasiti tenaga solar tambahan 8.9 megawatt peak (MWp) kepada Nibong Tebal Paper Mill Sdn Bhd (NTPM) yang bernilai RM27 juta.

 

Projek tersebut mula beroperasi pada 31 Disember 2023 dan menyalurkan tenaga bagi kilang NTPM iaitu masing-masing di Nibong Tebal dan Parit Buntar.

 

Jelas Solarvest, NTPM akan dapat memantau dan mengurangkan pelepasan karbon dengan berkesan setelah projek ini beroperasi sepenuhnya.

 

"Ini adalah satu langkah yang akan membantu syarikat itu mematuhi keperluan Bursa Malaysia untuk syarikat tersenarai melaporkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Projek dan Kejuruteraan NTPM, Chong Chat Lee berkata, dengan menggunakan solar, NTPM dapat merealisasikan pengurangan pelepasan karbon kira-kira 7,365 tan setahun. 

 

"Ini adalah selaras dengan sasaran lima tahun NTPM iaitu tidak melebihi 1,000 kg CO2e setiap tan kertas,” jelas beliau.

 

chong
Chong Chat Lee bersama Naib Presiden Jualan, Aset dan Pemasaran Kumpulan Solarvest, Jack Tan.


 

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong pula berkata, aktiviti pengeluaran kertas dan pembungkusan merupakan proses yang menggunakan banyak tenaga.

 

Kata beliau, pengeluaran tenaga menyumbang lebih daripada 70 peratus pelepasan GHG dan ini membuktikan kepentingan bagi membuat pilihan hijau untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifar Malaysia menjelang 2050.

 

“Pemasangan panel solar dan melaksanakan langkah-langkah berkaitan adalah cara paling praktikal dan berkesan pada masa kini untuk menyahkarbon serta menilai tindakan kita.

 

"Solarvest juga telah menjadi rakan tenaga hijau jangka panjang NTPM bagi kerjasama yang sedang dijalankan selain peluang dalam projek yang dirancang,” katanya. - DagangNews.com