KUALA LUMPUR 19 Mac - Ketidaktentuan pelancaran rangkaian kedua 5G (5GDN) masih berterusan dan hal ini mungkin mengekang sektor telekomunikasi dari segi perbelanjaan modal (capex) dan dividen, menurut RHB Investment
Firma penyelidikan itu menekankan bahawa risiko masih wujud meskipun isu-isu dasar sudah mereda selepas termeterainya perjanjian penyediaan akses 5G baharu.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pelancaran 5GDN ditangguh disebabkan oleh hal-hal undang-undang dan pelantikan Lembaga Pengarah baharu di Digital Nasional (DNB).
Firma itu berkata, pelantikan ini merupakan syarat untuk perjanjian langganan saham oleh empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) (ditandatangani pada 1 Disember 2023) yang masih sedang menjalani ketekunan wajar, dengan syarat-syarat duluan perlu dipenuhi.
MNO perlu melabur dalam DNB (pegangan 14%) sebelum dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam konsortium 5G kedua (penggunaan komersial), tambahnya.
Di samping itu, RHB Investment menjangkakan persaingan yang sengit dalam segmen mudah alih akan berlarutan, dengan fokus pada tawaran berkas mudah alih tetap dan penjualan pakej 5G yang lebih mahal.
“Kami menjangka momentum perkhidmatan mudah alih (MSR) akan kekal hambar memandangkan kelemahan sentimen pengguna dan tekanan inflasi akan menjejaskan perbelanjaan, yang dapat dilihat dalam bayangan pertumbuhan MSR berdigit tunggal rendah yang diberikan untuk FY24 oleh pengendali mudah alih,” ulas firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata ia memilih syarikat yang menawarkan perkhidmatan talian tetap/bersepadu berbanding syarikat perkhidmatan mudah alih kerana mereka mempunyai pemangkin pertumbuhan sektor, dan perolehan juga lebih teguh.
“Axiata Group diketengahkan sebagai saham yang ketinggalan berbanding penilaian sektor atas sebab pemulihan perolehan dan pengurangan hutang yang ia sedang jalankan,” tambahnya.
Kekal dengan pendirian ‘neutral’ ke atas sektor telekomunikasi, pilihan utama RHB Investment dengan saranan ‘beli’ adalah Axiata Group Bhd dengan harga sasaran (TP) RM3.40 sesaham dan OCK Group Bhd pada TP 76 sen.
Sementara itu, tiga syarikat lain diliputinya mendapat saranan ‘neutral’, iaitu CelcomDigi Bhd (TP: RM4.35), Maxis Bhd (TP: RM4) dan Time dotCom Bhd (TP: RM5.90) - DagangNews.com








