Sektor perladangan sumbang lebih RM23 bilion kepada sosio-ekonomi Malaysia ketika pandemik – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perladangan sumbang lebih RM23 bilion kepada sosio-ekonomi Malaysia ketika pandemik – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac - Sektor perladangan Malaysia merupakan penyumbang terbesar kepada sosio-ekonomi negara ketika pandemik menerusi cukai berjumlah lebih RM23 bilion meskipun menghadapi cabaran kenaikan kos dan penurunan keluaran, kata Maybank Investment Bank.

 

Firma penyelidikan berkenaan mendedahkan bahawa sektor tersebut merupakan wira tak didendang negara, yang mana antara 2020 dan 2023, ia telah menyumbang lebih kurang RM6.1 bilion levi untung durian runtuh; RM3.7 bilion duti eksport; RM1.3 bilion kutipan ses MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia), RM200 juta cukai kemakmuran; lebih RM6 bilion cukai jualan Sabah dan Sarawak (anggaran kasar) dan lebih RM6 bilion cukai pendapatan korporat dan cukai individu (oleh pekebun kecil) kepada kerajaan Malaysia. 

 

“Cukai-cukai yang dikutip oleh kerajaan ini disalurkan kepada (antara lain) pembinaan negara dan pelaksanaan banyak program sosial termasuk vaksinasi COVID percuma yang diberikan kepada rakyat dan pemberian wang tunai kepada golongan yang memerlukan semasa pandemik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini sempena ulang tahun ke-empat pandemik COVID-19 pada 11 Mac.

 

Maybank IB berkata, sektor perladangan turut memainkan peranannya dalam memastikan keterjaminan makanan, pekerjaan dan kesihatan, bukan sahaja dalam negara, malahan seluruh dunia ketika pandemik.

 

Menurut firma itu, minyak sawit memegang lebih 50% bahagian pasaran dalam perdagangan minyak sayuran global. Oleh itu, ketersediaannya yang berterusan adalah penting untuk keterjaminan makanan global serta keselamatan kesihatan.

 

Sepanjang pandemik, eksport minyak sawit tidak pernah berhenti kerana kerajaan membenarkan penanaman kelapa sawit diteruskan. 

 

Selain penggunaan makanan, ketersediaan berterusan minyak sawit dan produk sawit juga bermakna terdapat bahan-bahan yang sangat diperlukan untuk membuat penjagaan diri dan produk pembersihan seperti cuci tangan, sabun, detergen dobi, sanitiser tangan dan lain-lain yang amat diperlukan dunia dalam memeranginya virus COVID-19.

 

Di samping itu, ia juga menyediakan keterjaminan pekerjaan kepada warga tempatan serta asing memandangkan ramai orang kehilangan pekerjaan pada permulaan wabak itu dan terpaksa mengeluarkan wang simpanan hidup mereka bagi menampung kehidupan. 

 

“Sebelum wabak, sektor ini mempunyai tenaga kerja yang kukuh sebanyak 437,400 di Malaysia yang terdiri daripada pekerja tempatan dan asing. Semasa pandemik, sektor perladangan adalah antara yang diberi kelulusan khas oleh kerajaan untuk beroperasi,” tambahnya.

 

Selain menyediakan persekitaran kerja yang selamat secara semula jadi, pekerja dalam sektor ini diberi vaksin COVID percuma, serta orang luar mempunyai akses terhad di kuarters perumahan kakitangan dan operasi ladang. - DagangNews.com