Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mei - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) dijangka berkembang beberapa bulan akan datang seiring dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dalam sektor pembuatan Malaysia.
Menurut MIDF Research, perkembangan positif ini akan dipacu oleh pemulihan secara berperingkat dalam permintaan domestik dan juga luaran.
Jelasnya, pengeluar Malaysia telah menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi sejak Ogos 2019 bahawa output akan meningkat pada tahun akan datang, berdasarkan sentimen yang program vaksin akan merangsang pemulihan ekonomi.
"Tetapi, bagi prospek jangka pendek, terdapat kemungkinan sekatan pergerakan akan diperketatkan dengan mengambil kira peningkatan ketara jangkitan COVID-19.
"Situasi ini secara tidak langsung akan mengekang pemulihan bagi permintaan domestik," katanya dalam nota kajian hari ini.
PMI merupakan petunjuk tunggal komposit bagi prestasi sektor pembuatan.
Pada April, PMI Pembuatan Malaysia IHS Markit naik kepada 53.9 pada April berbanding 49.9 pada Mac, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan.
Ketua Ekonomi Perniagaan IHS Markit, Chris Williamson dalam nota kajian semalam berkata, pengembangan itu adalah prestasi paling kukuh direkodkan sejak kajian itu bermula pada Julai 2012.
Dalam masa sama, output juga berkembang kali pertama dalam tempoh 9 bulan dengan kadar pertumbuhan paling kukuh sejak Jun 2020.
Pertumbuhan kukuh ini disumbangkan terutama menerusi pengembangan jumlah pesanan baharu, yang mencatat kenaikan pertama sejak September 2018, meningkat pada kadar terpantas dalam 7 tahun.
Sementara itu, AmBank Research berkata, data PMI terkini itu mencerminkan ekonomi negara berada dalam landasan yang betul untuk mencatat pertumbuhan kukuh pada April.
Menurutnya, aktiviti pembuatan dijangka kekal sihat pada masa akan datang, meskipun ia bergantung kepada situasi semasa COVID-19.
Ini juga mengambil kira sama ada langkah sekatan dilonggarkan, pelancaran vaksin dan tunggakan (yang disebabkan oleh kekangan bekalan).
Keadaan ini akan memberi tekanan kepada harga dalam waktu terdekat, tetapi akan pudar setelah pengeluaran meningkat, tambahnya.
"Jika indeks ini kekal melebihi penanda aras 50 dalam suku kedua ini, disokong prestasi eksport, aktiviti peruncitan dan asas rendah yang positif, kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua ini akan merekodkan pertumbuhan yang kukuh," kata firma itu. - DagangNews.com








