Rugi tujuh suku tahun berturut-turut, GDEX kemuka Cadangan Kepelbagaian Perniagaan | DagangNews Skip to main content

Rugi tujuh suku tahun berturut-turut, GDEX kemuka Cadangan Kepelbagaian Perniagaan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - GDEX Bhd yang mencatatkan kerugian bagi tujuh suku tahunan secara berturut-turut bermula suku pertama tahun kewangan 2022 bercadang untuk menjalankan kepelbagaian dalam aktiviti utama dan anak-anak syarikatnya yang sedia ada dengan memasukkan penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian teknologi maklumat (IT).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, GDEX berkata, Lembaga Pengarah menjangkakan perniagaan perkhidmatan dan penyelesaian IT mampu menyumbang 25% atau lebih daripada keuntungan bersih Kumpulan.

 

"Perniagaan penghantaran ekspres yang menyumbang kepada pendapatan utama Kumpulan telah menghadapi cabaran akibat persaingan sengit kurier asing sehingga menyaksikan kerugian dalam tempoh dua tahun kewangan kebelakangan ini," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: RHB Investment hentikan liputan ke atas saham GDEX berikutan kerugian berterusan sejak 1QFY22

 

Oleh itu, kata GDEX, dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan, Kumpulan melancarkan pelan transformasi GDEX 2.0 pada 2022 dengan hasrat untuk memanfaatkan teknologi.

 

Ujar syarikat itu, Cadangan Kepelbagaian Perniagaan ini memerlukan Kumpulan menerokai bidang IT yang dilihat oleh Lembaga Pengarah sebagai strategi menarik bagi jangka panjang berdasarkan prospek berkaitan sektor tersebut di negara ini termasuk e-dagang dan peluang dalam keselamatan siber, integrasi sistem data dan teknologi bandar pintar.

 

"Setelah diluluskan oleh para pemegang saham, Cadangan Kepelbagaian Perniagaan akan membolehkan GDEX mengembangkan Perniagaan Perkhidmatan dan Penyelesaian IT sebagai sumber pendapatan dan pendapatan tambahan," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech Padu terima kontrak RM190 juta daripada JPJ selenggara infrastruktur ICT, sistem mySIKAP

 

Justeru kata GDEX, berdasarkan prospek dan kajian yang dilakukan, Lembaga Pengarah berpendapat bahawa Cadangan Kepelbagaian Perniagaan akan memberi manfaat kepada Kumpulan.

 

"Melainkan sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan diperolehi, Cadangan Kepelbagaian Perniagaan dijangka selesai menjelang suku kedua 2024," ujarnya.

 

GDEX dalam pada itu turut menyenaraikan beberapa risiko Cadangan Kepelbagaian Perniagaan menerusi perniagaan IT antaranya persaingan sengit dan kepakaran terhad.- DagangNews.com