PTTEP bakal meneroka telaga Mak Yong, iaitu kawasan yang belum lagi diketahui sama ada mengandungi minyak atau tidak. - Gambar pttep.com
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Mei - Syarikat minyak dan gas, PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP) bakal menggali telaga minyak baharu, Mak Yong yang berada di kawasan lepas pantai Sarawak seawal minggu hadapan.
Ini merupakan sebahagian daripada kempen penerokaan dan penggerudian penilaian oleh syarikat nasional Thailand itu di Malaysia yang telah dimulakan di beberapa telaga, menurut laporan Upstream Online.
Jelas laporan itu, penerokaan telaga Mak Yong-1 di kawasan air cetek, Blok SK 438 akan digali oleh salah satu pelantar yang dimiliki PTTEP iaitu Borr Gunnlod.
Sebagai rekod, PTTEP pada bulan lalu telah selesai memeriksa telaga Kulintang-1 di blok sama sebelum memindahkan Borr Gunnlod ke lapangan Pemanis, yang merupakan sebahagian daripada blok pembangunan ladang gas bertahap SK 309 dan SK 311.
Syarikat itu juga sebelum ini berjaya membuat penilaian ke atas telaga Lang Lebah-2, terletak di Blok SK 410B, lepas pantai Sarawak.
PTTEP terus mencatatkan kejayaan dengan penerokaan telaga Dokong-1 di Blok SK 417 yang merupakan gas berkualiti tinggi.
Tambah Upstream Online, PTTEP memiliki 80% kepentingan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) di kedua-dua Blok SK 438 dan SK 417, dan selebihnya dipegang oleh Petronas Carigali.
Dari segi prospek, PTTEP ketika ini sedang menjalankan pemprosesan semula data seismik 3D yang diperoleh di Blok SK 314A dan hasilnya akan digunakan untuk merancang penerokaan dua telaga pada tahun depan.
Syarikat pengendali itu juga sedang mengkaji potensi petroleum dan pemprosesan semula seismik 3D di Blok PM 407 yang berada di pesisir pantai Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com








