Projek loji solar hibrid 100MWac LSS3 Cypark di Merchang memulakan operasi permulaan | DagangNews Skip to main content

Projek loji solar hibrid 100MWac LSS3 Cypark di Merchang memulakan operasi permulaan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 April - Cypark Resources Bhd mengumumkan projek loji solar hibrid 100MWac Solar Skala Besar 3 (LSS3)  telah mencapai kejayaan Operasi Permulaan (IOD) pada 21 April 2024.

 

Projek di Merchang, Terengganu itu akan mencapai operasi komersial penuh dalam masa dua minggu akan datang.

 

"Projek loji solar hibrid LSS3 adalah sejajar dengan matlamat peralihan tenaga Malaysia dan mempamerkan keupayaan negara untuk memimpin dalam membangunkan penyelesaian tenaga yang inovatif dan mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Cypark Resources, loji solar hibrid itu terdiri daripada 83MWac PV solar yang dipasang di tanah dan 32MWac PV solar terapung.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ami Moris dilantik sebagai Pengerusi Cypark Resources Berhad

 

AMI
AMI MORIS

 

Pengarah Eksekutif Cypark Resources Datuk Ami Moris berkata, syarikat itu telah mengalami perubahan ketara pada tahun lalu untuk memastikanloji kuasa hibrid itu beroperasi dengan standard kualiti tinggi.

 

"Cypark Resources sekali lagi berbangga kerana menyumbang tenaga bersih kepada grid Malaysia dan menjana pendapatan baharu untuk pemegang saham kami.

 

"Kumpulan Jakel sebagai pemegang saham utama baharu telah berjaya memberikan rangsangan yang diperlukan bagi modal dan kepakaran pengurusan projek, manakala lembaga pengarah kami yang dibentuk semula sedang melakukan perkara yang betul untuk memastikan kemampanan jangka panjang Cypark Resources," tambahnya.

 

Ami melahirkan keyakinan bahawa Cypark Resources sedang bergerak ke arah yang betul untuk menjadi penyedia tenaga terkemuka di Malaysia.

 

Kata beliau, ini terutamanya dengan penyerahan projek solar terapung 60MWac Large Scale Solar 2 (LSS2) di Kelantan akan datang. - DagangNews.com