Program DE Rantau Nomad kini diperluaskan kepada profesional bukan digital - MDEC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program DE Rantau Nomad kini diperluaskan kepada profesional bukan digital - MDEC

Pas DE Rantau Nomad mula dibuka pada 2022.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMUR 7 Jun - Kelayakan bagi pas DE Rantau Nomad kini diperluaskan kepada profesional atau bakat-bakat dalam bidang selain daripada teknologi maklumat (IT) atau digital.

 

Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), pengasas, CEO, ketua pegawai operasi, akauntan cukai, penasihat undang-undang, penulis teknikal, pengurus pembangunan perniagaan, profesional perhubungan awam dan jawatan berkaitan lain sama ada bebas digital atau pekerja jarak jauh kini layak untuk memohon pas DE Rantau Nomad.

 

"Kriteria pendapatan minimum bagi bakat-bakat bukan IT/digital ini ditetapkan pada AS$60,000 (RM281,670) setahun atau AS$5,000 (kira-kira RM23,400) sebulan.

 

"Selain itu, ibu bapa pemohon utama kini boleh menjadi tanggungan," kata MDEC dalam kenyataan hari ini.

 

mdec
Menteri Digital, Gobind Singh pada Majlis Bersama Pemegang Pas De Rantau Nomad anjuran MDEC di ibu negara hari ini. 

 

Menurut agensi Kementerian Digital itu, program ini telah menerima 3,096 permohonan, dengan 1,443 diluluskan, termasuk 189 pembaharuan setakat 31 Mei 2024.

 

Katanya, para pemohon datang dari 78 negara dengan lima teramai adalah Rusia, Pakistan, Britain, Jepun, dan Australia.

 

"Pendapatan tahunan purata bagi digital nomad yang diluluskan ini adalah USD69,000 (RM324,000), dengan majoriti mempunyai kemahiran dalam Pembangunan Perisian, Pemasaran Digital, dan AI/Pembelajaran Mesin," jelasnya.

 

Pas khas itu sah diguna pakai dalam tempoh 12 bulan dan nomad digital boleh memperbaharui pas itu semula sekiranya ingin terus berada di negara ini.

 

Sementara itu, tambah MDEC, kajian pada akhir tahun 2023 menunjukkan bahawa 40% daripada pemohon yang diluluskan berada di Malaysia bersama keluarga yang memberi impak terhadap perbelanjaan mereka sama ada dalam pelancongan, pendidikan, makanan, penginapan mahu pun pengangkutan.

 

Katanya, program ini terus memperluaskan rangkaian rakan kongsi yang kini termasuk pelbagai penaja tempat kerja bersama, platform insurans, penyedia penjagaan kesihatan, platform penginapan, penyedia perkhidmatan pelancongan dan rekreasi, penyedia penyelesaian tanpa tunai dan perkhidmatan pengangkutan.

 

"Rakan kongsi Utama termasuk WORQ, Common Ground, Komune Co-working, Universal Space Offices, Jetpack Langkawi, SafetyWing, KPJ Healthcare, MHTC, OYO, Tripcarte, AxaiPay, EdxaPay, SenangPay, EasyBook, Good Foodie Media, dan HERTZ," ujarnya.

 

Kata MDEC, DE Rantau dijangka menganjurkan beberapa inisiatif komuniti yang bertujuan untuk melibatkan dan memperkaya komuniti digital nomad di Malaysia.

 

Jelas perbadanan itu, ini termasuklah Scale Summit @ Langkawi pada penghujung bulan ini, suatu acara komuniti digital nomad oleh JetPack Langkawi. 

 

"Selain itu, DE Rantau @ Terengganu akan diadakan pada suku ketiga 2024, dan DE Rantau Fest 2024 dijadualkan pada suku keempat 2024, menjanjikan siri aktiviti dan peranan yang mencabar.

 

"MDEC komited untuk memberdayakan inisiatif-inisiatif ini, memupuk ekosistem digital nomad yang berkembang di Malaysia, menyokong pertumbuhan industri tempatan, dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dan pendatang lembut bagi bakat-bakat digital global.

 

"Untuk maklumat lanjut dan untuk memohon DE Rantau Nomad Pass, sila layari www.mdec.my/derantau," katanya.- DagangNews.com