KUALA LUMPUR 29 Nov - Pos Malaysia Bhd melalui perkhidmatan pemenuhan bersepadu sepenuhnya, Pos Fulfill menyokong kemasukan syarikat berasaskan makanan dan minuman dari Thailand, Rocks PC Co Ltd ke pasaran Malaysia untuk perniagaan runcit Potato Corner mereka.
Ketua Pos Fulfill Pos Malaysia, Rohit Gunavanthe berkata, pihaknya memudahkan kemasukan Potato Corner dari Thailand ke Malaysia, melalui syarikat tempatannya, Rocks Foods Sdn Bhd.
"Kami berada di landasan yang baik dengan perkhidmatan pemenuhan dan penghantaran kami untuk menyokong pelancaran dan strategi pertumbuhan Potato Corner di seluruh negara.
"Kerjasama ini menekankan keupayaan Pos Fulfill dalam menyampaikan rumusan penuh rantaian bekalan komprehensif kepada perniagaan yang mencari peluang pertumbuhan di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rocks Foods, Chayapatra Thongcharoen berkata, dalam perkembangan jenama Potato Corner di Malaysia, pihaknya gembira dengan kerjasama Pos Fulfill sebagai rakan kongsi pemenuhan mereka.
"Kepakaran dan jangkauan luas mereka di seluruh Malaysia akan membolehkan kami memberi tumpuan kepada perniagaan teras kami untuk mempesonakan pelanggan Potato Corner.
"Apabila kami berkembang dan meluaskan lagi perniagaan di Lembah Klang dan seluruh Malaysia, kami akan bergantung kepada Pos Fulfill untuk menggerakkan operasi rantaian bekalan kami," katanya.
Pos Fulfill ialah perkhidmatan pemenuhan bersepadu yang khusus dalam pergudangan dan pemenuhan pesanan untuk perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C).
Ia juga memastikan produk pelanggan disimpan dengan selamat dan teratur, dihantar tepat pada waktunya dan dihantar kepada rakan penghantar yang ditetapkan untuk memenuhi permintaan pasaran melalui kebolehlihatan sistem.
Sebagai penyedia rumusan setempat, Pos Fulfill mengaitkan semua perkhidmatan Pos Malaysia yang lain termasuk kargo batuan terakhir, pos antarabangsa, penghantaran ke kedai, penghantaran lintas sempadan, dan menyediakan rumusan holistik untuk perniagaan yang mementingkan kecekapan, kestabilan dan kebolehpercayaan dalam operasi logistik mereka.
Pada masa ini, Pos Fulfill mengendalikan lebih daripada 200,000 kaki persegi ruang gudang di Shah Alam, Klang, Kuala Lumpur, dan Kota Kinabalu.
Dengan rangkaian tapak dan infrastruktur yang berkembang pesat, Pos Fulfill dapat memberikan sokongan padu kepada Rocks Foods untuk menembusi pasaran runcit pengguna Malaysia.
Digelar 'Kentang Goreng Paling Sedap Dunia sejak 1992', kentang goreng berperisa Potato Corner ditubuhkan pada 1992, dan syarikat itu telah berkembang ke lebih 1,800 kedai di 16 buah negara termasuk Thailand, United Kingdom, Dubai, Australia, dan Singapura. Jenama itu melancarkan kiosk pertamanya di Sunway Pyramid pada bulan ini.
Pos Malaysia secara aktif memperluaskan keupayaan pemenuhan dan logistik e-dagang B2B sejak tahun lepas. Pengembangan itu memanfaatkan pertumbuhan pasaran perkhidmatan pemenuhan e-dagang global, yang dijangka mencapai AS$198.62 bilion menjelang tahun 2030 menurut unjuran industri.
Kemasukan Rocks Foods di dalam portfolio merupakan satu kejayaan besar bagi Pos Fulfill untuk menunjukkan keupayaannya dalam menyokong kemasukan dan perkembangan jenama-jenama baru ke pasaran Malaysia. - DagangNews.com








