KUALA LUMPUR 2 Jun - Pemegang saham kelima terbesar dalam Serba Dinamik Holdings Bhd., Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyatakan kebimbangan terhadap kemelut yang melanda syarikat tersebut berhubung audit kewangannya.
Menurut laporan Reuters, PNB memberitahu Lembaga Pengarah mengenai kekhuatirannya dan tidak percaya terdapat merit untuk menyingkirkan juruaudit yang dilantik sebelum melengkapkan audit tahunan.
"Ia juga mempunyai hak untuk mengundi tidak menyokong sebarang resolusi bagi menggantikan juruaudit sedia ada," katanya seperti dipetik TheEdge hari ini.
Syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan itu pada minggu lalu memberitahu, firma audit, KPMG, belum dapat mengesahkan kontrak dan transaksi berjumlah RM3.5 bilion menerusi 11 pelanggannya hingga mendorong Suruhanjaya Sekuriti menjalankan siasatan.
Baca : Perlu selesaikan kemelut Serba Dinamik
Malah, Serba Dinamik menegaskan tiada isu berhubung kontrak berkenaan dan merancang untuk melantik firma bebas bagi menyemak semula perkara tersebut.
Bagaimanapun, pada Jumaat, pemegang saham kedua terbesar yang juga pengarah bukan bebas bukan eksekutif, Datuk Abdul Kadier Sahib mengemukakan notis kepada syarikat mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menggantikan KPMG dengan BDO PLT bagi audit laporan kewangan berakhir 30 Jun 2021.
Berdasarkan senarai Forbes, Abdul Kadier adalah antara 50 individu terkaya di Malaysia pada 2020.
Semalam, dalam makluman di Bursa Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah yang juga pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan meningkatkan pegangan sahamnya dalam Serba Dinamik.
Pemegang saham terbesar ini memperoleh lagi 5 juta saham menerusi pasaran terbuka pada Isnin. Kini beliau memiliki 29.07% pegangan dalam Serba Dinamik, menyamai 1 bilion saham.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula memiliki 10.15% pegangan diikuti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 5.25%. - DagangNews.com








