Pertubuhan Pendidikan Azzahra, Aster Edu dan YEG Academy sasar bantu 1,000 pelajar tahfiz lanjut pengajian peringkat diploma | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertubuhan Pendidikan Azzahra, Aster Edu dan YEG Academy sasar bantu 1,000 pelajar tahfiz lanjut pengajian peringkat diploma

(Dari kiri) Nurul Amirah Samsudin, Shahrin Zikri Shahrizman dan Fikri Hasbi ketika majlis memeterai MoU antara Pertubuhan Pendidikan Azzahra, Aster Edu dan YEG Academy di Cyberjaya, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Pertubuhan Pendidikan Azzahra (PPAZ), Aster Edu Sdn Bhd dan YEG Academy memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha melahirkan seramai 1,000 pelajar tahfiz untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Pengurusan Haji dan Umrah melalui program 'Dhumy' di Kolej Antarabangsa Inovatif.

 

Timbalan Pengerusi PPAZ, Nurul Amirah Samsudin berkata, kerjasama itu bertujuan menyebar luas dan mempromosikan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada orang ramai.

 

Katanya, ia juga bagi meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat PPAZ dalam usaha untuk memberi peluang kepada pelajar tahfiz melanjutkan pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

"Usaha ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Aster Edu akan membantu pelajar tahfiz dalam persiapan mengambil SPM.

 

"Manakala, PPAZ akan membantu pengumpulan dana dan penganjuran program. YEG pula membantu kemasukan pelajar ke peringkat diploma berkenaan serta jaminan kerjaya melalui sektor swasta," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Turut hadir pada majlis itu, Penasihat Akademik Aster Edu, Shahrin Zikri Shahrizman dan Ketua Pegawai Operasi YEG Academy, Fikri Hasbi.
 

 

Menurut Nurul Amirah, ketiga-tiga komponen daripada persiapan SPM, ijazah dan kerjaya pelajar tahfiz merupakan visi utama pertubuhan tersebut.

 

Katanya, antara program yang dijalankan PPAZ, termasuk Fast-Track SPM, Konvensyen Power Parenting, Program Mencipta Perubahan dari Tempat Belajar, dan Program Hala Tuju Pendidikan.

 

 

ppaz
Nurul Amirah Samsudin

 

 

PPAZ ditubuhkan dengan matlamat utama untuk membantu dan membimbing para pelajar tahfiz dalam mendapatkan SPM tanpa perlu menghadapi sebarang kos.

 

 

ppaz

 

 

Selain itu, ia berfungsi sebagai perantara antara Maahad Tahfiz dan penyumbang yang ingin memberikan sumbangan mereka untuk pendidikan pelajar tahfiz.

 

 

PPA

 

 

PPA

 

 

Dengan sokongan dan sumbangan itu, PPAZ memastikan bahawa pelajar-pelajar tahfiz mendapat akses kepada bimbingan dan bahan pendidikan yang diperlukan untuk menghadapi peperiksaan SPM. - DagangNews.com