KUALA LUMPUR 19 Mei - Spektrum kredit dalam pasaran bon domestik perlu diperluaskan merangkumi penerbit bon yang lebih kecil bagi memastikan pertumbuhan berterusan.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Syed Zaid Albar berkata, ini memandangkan sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang penting kepada pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, bagaimanapun, cabarannya adalah menyesuaikan pasaran bon dan sukuk untuk menyediakan kos yang efektif untuk semua penerbit kecil dan rendah menjana modal bagi memenuhi pelan pertumbuhan dan pengembangan.
"Ini amat penting kerana pengguaan aset tradisional yang lebih besar atau inventif sahaja tidak mencukupi untuk mendorong pertumbuhan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama sempena Persidangan Bon dan Sukuk Malaysia secara maya yang dianjurkan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).
Sebagai contoh, katanya, transaksi pensekuritian yang disertakan dengan perlindungan diperlukan berpotensi menjadi alat pembiayaan berharga, mengubah aset tidak cair kepada cair dan boleh didagangkan.
"Bagaimanapun, lebih banyak ketelusan dan ‘kebolehkesanan’ aset ini membolehkan pelabur menilai risiko yang lebih baik," ujar beliau.
Menurut Syed Zaid, pasaran bon domestik berkembang kepada RM1.6 trilion pada 2020 di sebalik cabaran persekitaran semasa, meningkat daripada RM1.49 trilion setakat akhir 2019.
Beliau menyifatkan agensi penarafan kredit memainkan peranan penting sebagai pengawal selia yang membantu meningkatkan ketelusan dan keyakinan pasaran.
"Meskipun penarafan kredit ketika ini dipacu oleh pasaran berbanding peraturan, tetapi permintaan bagi penilaian yang tepat, boleh dipercayai dan disebarkan secara meluas tetap menjadi ciri yang diperlukan dalam pasaran hutang kita," katanya.
Jelasnya, keberkesanan struktur kawalan dalaman, tadbir urus yang baik dan ketelusan akan mendorong integriti yang lebih hebat dalam proses penarafan.
Ini secara tidak langsung dapat menangani sebarang pertindihan kepentingan yang timbul, meningkatkan kualiti penarafan dan menggalakkan penarafan yang bertanggungjawab, tegas beliau. - DagangNews.com








