Perkhidmatan penghantar kontena dari Pelabuhan Tanjung Bruas ke Pelabuhan Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perkhidmatan penghantar kontena dari Pelabuhan Tanjung Bruas ke Pelabuhan Klang

Tanjung Bruas Port Sdn Bhd (TBP).

KUALA LUMPUR 11 Jan - Tanjung Bruas Port Sdn Bhd (TBP) memulakan perkhidmatan penghantar bagi kontena dari Tanjung Bruas, Melaka ke Pelabuhan Klang (TBP-PKL-TBP).

 

Menurut TBP, perkhidmatan ini bertujuan memenuhi keperluan syarikat perkapalan dari bahagian utara negeri Johor, Melaka dan selatan Negeri Sembilan.

 

Dalam kenyataannya, TBP memaklukan, kumpulan kontena pertama 120 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dari CMA CGM tiba pada 3 Januari lalu.

 

"Projek penghantar adalah usaha dan perkongsian bersama antara TBP dan CMA CGM dengan CMA CGM menawarkan penyelesaian lestari yang komprehensif kepada pengangkut.

 

"Ini termasuk penghantaran kontena, pelepasan kargo kastam dan barj dari laluan Pelabuhan Tanjung Bruas ke Pelabuhan Klang dan sebaliknya melalui jaringan global mereka ke destinasi akhir kargo seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, Asia Barat, Afrika Selatan, Jepun, China dan negara yang lain," kata TBP.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka, Datuk Ginie Lim berkata, perkhidmatan itu dijangka mengurangkan masa yang diambil untuk mengangkut barangan antara kedua-dua bandar itu, mengurangkan kos dan kesesakan lalu lintas serta pencemaran.

 

Menurut beliau, ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

"Perkhidmatan ditawarkan TBP itu adalah satu inisiatif membanggakan yang menawarkan lebih fleksibiliti dari segi laluan dan jadual," jelasnya.

 

Sementara itu, Pengarah TBP, Md Derick Basir berkata, perkhidmatan ini memendekkan tempoh masa bagi melengkapkan seluruh proses kontena, pengurangan inventori kontena tidak aktif dan peningkatan kecekapan keseluruhan dalam rantaian logistik.

 

"Ini sekali gus memupuk manfaat bersama untuk semua pihak berkepentingan," katanya sambil menambah, TBP mampu mengendalikan 50,000 TEU setahun dengan adanya infrastruktur sedia ada.

 

Pada peringkat awal, perkhidmatan penghantar akan menggunakan Pelabuhan Tanjung Bruas setiap minggu.

 

Selepas peningkatan jumlah kapal, kekerapan perkhidmatan penghantar akan ditingkatkan kepada dua atau tiga panggilan dalam seminggu tertakluk kepada permintaan pada masa hadapan.- DagangNews.com