Penganalisis optimis situasi bekalan minyak sawit terhad berakhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis situasi bekalan minyak sawit terhad berakhir tahun ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Situasi bekalan minyak sawit yang terhad dijangka bakal berakhir menjelang hujung tahun ini, antaranya dipacu oleh kemasukan semula pekerja asing ke dalam negara. 

 

Penganalisis di MIDF Research, Shahira Rahim percaya kerajaan akan membuka semula sempadan negara menjelang tahun 2022. 

 

Katanya, perkembangan tersebut membolehkan pemain industri perladangan tempatan membawa masuk pekerja asing yang seterusnya dijangka menyelesaikan isu kekurangan tenaga buruh di dalam sektor tersebut. 

 

“Walaupun kami menjangkakan inventori dan paras pengeluaran akan bertambah baik sedikit, namun situasi bekalan terhad akan kekal sehingga suku keempat tahun 2021 (4Q21). 

 

“Ini ekoran pemulihan terhad dalam kadar hasil dan di bawah potensi kerana kekurangan pekebun yang berkemahiran, prospek permintaan lebih baik dipacu oleh aktiviti ekonomi lebih baik di dalam negara dan global serta fenomena cuaca La Nina pada masa akan datang,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

 

Seperti dijangkakan, kebanyakan syarikat perladangan di bawah liputan firma itu berprestasi cemerlang pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang berlegar ke paras tinggi. 

 

Ujar Shahira, terdapat empat syarikat yang berprestasi melebihi sasaran, sementara, dua lagi berprestasi seiring ramalan dan dua syarikat perladangan berprestasi di bawah jangkaan. 

 

Pada tempoh tersebut, MIDF menyaksikan lonjakan dari segi pengeksportan minyak sawit ke India, China dan Pakistan, terutamanya disumbangkan oleh stok minyak sayur yang rendah di beberapa negara pengguna minyak sawit.

 

Tambah Shahira, firma penyelidikannya kekal positif terhadap sektor tersebut dengan sasaran harga MSM disemak semula kepada RM3,600 bagi setiap metrik tan daripada RM3,200 sebelum ini.

 

“Dari segi permintaan, kami percaya aktiviti pengisian semula untuk mengimport lebih banyak minyak sawit akan berterusan pada tahun ini, dipacu oleh segmen hotel, restoran dan kafe (HORECA) di China dan India. - DagangNews.com