KUALA LUMPUR 20 Mei - AEON CO. (M) BHD. (AEON Malaysia) dijangka merekodkan prestasi yang lebih baik pada tahun kewangan 2022 berbanding 2021.
Penganalisis MIDF Research, Ng Bei Shan berkata, langkah berhati-hati yang diambil dalam pengurusan kos akan memberi hasil yang positif apabila persekitaran perniagaan bertambah baik.
Firma itu berpendapat, AEON Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk mengatasi keadaan jangka pendek ini.
"Malah, ia terbukti dengan aliran tunai operasi yang kukuh pada RM282.1 juta berbanding -RM41.1 juta tahun lalu. Tahap gearan juga berada pada 0.4x.
"Ini turut disokong oleh strategi perniagaan yang mantap untuk kekal relevan, antaranya menawarkan perkhidmatan baharu dan inisiatif pendigitalan kepada pelanggan dan penyewa," katanya dalam nota kajian hari ini.
MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM1.64 sesaham setelah mengambil kira harga sahamnya baru-baru ini memberi peluang pembelian.
Bagi suku pertama tahun kewangan 2021, keuntungan selepas cukai AEON Malaysia meningkat 194% kepada RM22 juta berbanding tahun sebelumnya, sebanyak RM7.5 juta.
Keuntungan daripada operasi dan keuntungan sebelum cukai juga masing-masing meningkat kepada RM72.7 juta dan RM41.8 juta berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli mengekalkan pandangan terhadap sektor peruncitan pada separuh kedua 2021 dengan kejayaan pelancaran vaksin COVID-19 yang mana ketika ini kedatangan pengunjung ke pusat beli-belah diperketatkan dengan mengambil kira situasi semasa pandemik.
"Tetapi, pendapatan peruncitan ini akan meningkat pada separuh kedua didorong oleh kerjasama AEON Malaysia dengan Boxed (yang berpangkalan di Amerika Syarikat) untuk memanfaatkan pendigitalan dan penggunaan e-dagang.
"Kerjasama ini meletakkan sasaran sumbangan segmen ini kepada kumpulan dalam tempoh 5 tahun," katanya.
Bagaimanapun, pemulihan dari segi pendapatan diheret turun dengan kelemahan dalam perkhidmatan pengurusan harta tanah berikutan situasi pandemik yang berterusan dan perintah kawalan pergerakan. - DagangNews.com








