Pendapatan peneroka Felda tidak seragam akibat COVID-19, kekurangan tenaga kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan peneroka Felda tidak seragam akibat COVID-19, kekurangan tenaga kerja

Masalah kekurangan pekerja yang serius terutamanya penuai buah juga menjadi punca.

KUALA LUMPUR 1 Mac - Secara keseluruhannya, purata pendapatan bersih peneroka Felda yang terlibat dalam tanaman kelapa sawit meningkat kira-kira 33% peratus daripada RM3,173 sebulan pada tahun 2020 kepada RM4,297 sebulan pada tahun 2021.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peningkatan purata pendapatan bulanan ini berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah yang meningkat ke kira-kira RM4,400 setan pada tahun 2021, berbanding hanya kira-kira RM2,800 setan pada tahun 2020.

 

Di samping itu kata beliau, pelaksanaan beberapa inisiatif oleh Felda seperti pelarasan pinjaman peneroka turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan bersih peneroka.

 

''Walaubagaimanapun, jumlah peningkatan pendapatan peneroka tidak seragam di semua kawasan Felda,'' kata beliau dalam jawapan lisan di Parlimen hari ini.
 


 

tokpa
                                 Datuk Seri Mustapa Mohamed

 


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang meminta Perdana Menteri mengulas dakwaan sesetengah peneroka Felda yang tidak mengalami peningkatan pendapatan selari dengan harga minyak sawit yang tinggi.

 

Mustapa berkata, antara faktor-faktor pendapatan peneroka tidak seragam adalah seperti berikut :

(i) Wabak COVID-19 yang melanda dan berlakunya arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa tanah rancangan mengakibatkan aktiviti operasi ladang terpaksa dihentikan sementara waktu.

 

Sebagai contoh, rancangan Felda di Wilayah Terengganu yang terkesan termasuklah:

a. Felda Selasih dan Felda Tenang Besut bagi tempoh 22 Mei hingga 4 Jun 2021; dan

b. Felda Neram 2 di kawasan Parlimen Kemaman, DUN Air Putih bagi tempoh 21 Julai hingga 3 Ogos tahun lepas.

 

(ii) Selain itu, terdapat beberapa rancangan yang mengalami tempoh PKPD yang berlanjutan sehingga melebihi 14 hari. Ada juga terdapat tanah rancangan yang dikenakan arahan PKPD buat kali kedua dan seterusnya; dan

 

(iii) Arahan larangan kemasukan pekerja asing mulai Mac 2020 ekoran daripada pandemik COVID-19 telah mengakibatkan masalah kekurangan pekerja yang serius terutamanya penuai buah.

 

Ini kata Mustapa, mengakibatkan pusingan menuai terpaksa dikurangkan dan terdapat banyak kes buah yang sudah masak dan tidak dituai. - DagangNews.com