Pansar raih kontrak RM269 juta naik taraf loji rawatan air di Sibu | DagangNews Skip to main content

Pansar raih kontrak RM269 juta naik taraf loji rawatan air di Sibu

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 April - Pansar Berhad menerima kontrak menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) di Salim, Sibu bernilai RM269.09 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pansar berkata, kontrak itu diraih anak syarikatnya, Perbena Emas Sdn Bhd menerusi tender terbuka.

 

Perbena Emas menerima Surat Setuju Terima kontrak itu hari ini dengan tempoh kontrak adalah selama 30 bulan dan projek dijadualkan bermula pada Mei 2024. 

 

"Skop kerja termasuk kerja sivil dan struktur, kerja mekanikal dan elektrik untuk pembinaan, penyiapan dan pentauliahan dan semua kerja yang diperlukan untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Salim daripada 150 juta juta liter sehari kepada 300 juta liter sehari," katanya.

 

Menurut Pansar, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan apabila Projek berjalan dalam tempoh kontrak.

 

"Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Pansar atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut," ujarnya. - DagangNews.com