KUALA LUMPUR 30 Nov - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjalin kerjasama dengan Zurich Malaysia untuk melancarkan NUTP Medicare, pelan takaful hospital dan pembedahan berkelompok komprehensif.
Pelan tersebut juga melindungi kos rawatan perubatan bagi perbelanjaan prosedur pembedahan akibat kemalangan atau penyakit.
Kerjasama itu mencerminkan usaha berterusan NUTP untuk menyediakan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk ahlinya melalui pelan perlindungan takaful bersesuaian.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya komited terhadap kebajikan ahli, dan pelancaran NUTP Medicare adalah bukti komitmen itu.
Katanya, kerjasama dengan Zurich merupakan kejayaan penting bagi NUTP kerana perlindungan takaful itu menyediakan manfaat yang sama seperti produk lain di pasaran namun pada harga yang mampu milik.
"Penyertaan dalam NUTP Medicare akan menyediakan bantuan yang amat diperlukan kepada ahli kami semasa kecemasan dan masa yang mencabar, dalam memastikan mereka mempunyai akses kepada perkhidmatan perubatan yang komprehensif dan bernilai tambah.
"Kami mengalu-alukan semua ahli NUTP untuk memanfaatkan peluang ini dan menyertai NUTP Medicare untuk kesejahteraan mereka serta orang yang tersayang," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Bhd, Shamsul Azman berkata, dalam era kemajuan teknologi perubatan dan rawatan lebih maju, peluang untuk mendapatkan bantuan perubatan selalunya memerlukan kos yang tinggi.
Katanya, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan NUTP dalam menyediakan akses kepada pelan perlindungan takaful perubatan yang komprehensif dan mampu milik untuk ahli NUTP.
"Kerjasama ini membolehkan kami memanfaatkan kepakaran dan sumber kami untuk memastikan ahli NUTP menerima perlindungan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi sedia ada," katanya.
Melalui NUTP Medicare, ahli NUTP kini boleh mendapatkan manfaat daripada rawatan pakar di hospital swasta, bagi memastikan keselesaan dan penjagaan terbaik kepada mereka.
Manfaat-manfaat utama, termasuk kadar caruman yang berpatutan dan tetap untuk ahli berumur 18 hingga 60 tahun. Bermula pada kadar serendah RM70 sebulan, ahli boleh menikmati perlindungan yang komprehensif tanpa sebarang deduktibel atau ko-takaful.
Selain itu, ia termasuk perlindungan 24 jam di seluruh dunia, akses kepada lebih 160 pilihan panel hospital yang terkenal, dan perlindungan menyeluruh untuk seluruh keluarga serendah RM180 sebulan, tanpa had ke atas bilangan kanak-kanak yang dilindungi di bawah umur 23 tahun. - DagangNews.com








