Nilai GBS di Malaysia dijangka meningkat kepada AS$1.5 bilion pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai GBS di Malaysia dijangka meningkat kepada AS$1.5 bilion pada 2024

 

CYBERJAYA 1 Mei - Koridor Raya Multimedia (MSC) mengenal pasti sebanyak 579 syarikat Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) yang aktif dengan 57% daripadanya merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

 

Sebanyak 30% pula terdiri daripada GBS  asing yang tersenarai dalam Forbes Global 2000 dan Fortune 500 seperti HSBC Electronic Data Processing (Malaysia) Sdn. Bhd., Jabil Global Business Services dan Dassault Systèmes.

 

Syarikat-syarikat GBS ini turut menyumbang kira-kira 20% daripada jumlah keseluruhan syarikat MSC yang aktif dan merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan prestasi pelaburan sehingga 50% selain turut mencatatkan peningkatan eksport (66%) dan mencipta peluang pekerjaan (61%).

 

Di peringkat ASEAN, jumlah pusat GBS telah meningkat hampir 70% sejak 2010 dengan Malaysia menjadi ‘pangkalan’ kepada lebih daripada satu pertiga daripadanya keseluruhannya, diikuti oleh Filipina dan Singapura.

 

Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Jenama yang juga Ketua Pegawai Pemasaran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Raymond Siva berkata, melihat Data Global semasa, nilai GBS di Malaysia dijangka meningkat kepada AS$1.5 bilion pada 2024 berbanding sebanyak AS$1.3 bilion pada 2019.

 

"Oleh itu, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk terus menarik lebih banyak FDI ke sektor ini. Komitmen kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur digital dan menyediakan saluran tenaga kerja yang bersedia secara digital akan membolehkan kita untuk meletakkan negara sebagai lokasi pilihan untuk GBS bernilai tinggi seperti Analisis Automasi Proses Robotik (RPA), Kecerdasan Buatan (AI), data dan keselamatan siber,” katanya.

dewi
                                                               Raymond Siva

 

Sementara itu, Ketua OM, Cheah Kok Hoong berkata, walaupun terdapat kesukaran ketika pandemik, Malaysia melihat industri GBS mampu bertahan disebabkan persekitaran perniagaan yang kondusif serta mempunyai akses kepada bakat.

 

"Perkhidmatan GBS serta Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) yang disediakan  merupakan sokongan penting kepada industri. Oleh itu, kami akan terus menyokong anggota dan industri serta bersama-sama dengan kerajaan Malaysia,” kata Cheah.

 

OM
SATU daripada acara Outsourcing Malaysia ialah anugerah kecemerlangan untuk syarikat GBS.

 

OM dulunya dikenali sebagai Outsourcing Malaysia adalah inisiatif industri GBS ditubuhkan pada 2006 oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dengan objektif untuk mempromosi dan mengembangkan Malaysia sebagai hab global untuk perkhidmatan perniagaan digital bernilai tinggi.

 

Presiden Persatuan Pusat Hubungan Malaysia, Raymond Devadass berkata, industri perkhidmatan pelanggan global mengalami revolusi besar akibat proses automasi seperti Search Engine Optimization (SEO), kecerdasan buatan (AI) dan teknologi mesin.

 

Katanya, perubahan cepat dan laju ini yang didorong oleh teknologi telah menyebabkan perubahan terhadap kemahuan pelanggan.

 

"Industri di Malaysia telah meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya kepada bernilai lebih tinggi untuk memenuhi permintaan teknologi oleh pelanggan yang mahu meningkatkan pengalaman mereka.

 

"Ini akan menjadikan Malaysia sebagai lokasi pilihan bagi syarikat yang ingin memperluas atau menubuhkan pusat penyampaian pengurusan pelanggan baharu," ujar beliau. - DagangNews.com