Mohd Karim dan Rosland tiada lagi di SCIB, usaha tingkatkan pengawasan korporat diteruskan | DagangNews Skip to main content

Mohd Karim dan Rosland tiada lagi di SCIB, usaha tingkatkan pengawasan korporat diteruskan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) berkata dua bekas ahli lembaga pengarah, Datuk Dr Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah dan Rosland Othman, yang ditegur dan didenda Bursa Malaysia baru-baru ini bukan lagi sebahagian daripada syarikat.

 

Pada 1 Disember 2023, Bursa Malaysia telah menegur SCIB dan dua pengarahnya, Datuk Dr Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah dan Rosland Othman, yang telah meletak jawatan sebelum teguran berkenaan.

 

Mohd Abdul Karim merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas dan bersara pada 8 Disember 2022, manakala Rosland ialah Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif sebelum meletak jawatan pada 28 Jun 2023.

 

 

Datuk Dr Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah (kiri) dan Rosland Othman
Datuk Dr Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah (kiri) dan Rosland Othman

 

 

Syarikat pakar sistem bangunan perindustrian itu berkata ia mengambil maklum teguran Bursa Malaysia Securities, yang secara khusus ditujukan kepada dua bekas ahli lembaga pengarah atas pelanggaran berhubung Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan komited mempertingkatkan pengawasan korporat dan profesionalisme.

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bursa Malaysia tegur, denda bekas pengerusi dan CEO SCIB gagal terbitkan laporan tahunan

 

 

Menurut syarikat itu, penyerahan lewat Laporan Tahunan SCIB 2021, terutamanya disebabkan oleh kerumitan dalam mengaudit kontrak pembinaan di luar negara, menekankan aspek yang memerlukan penambahbaikan dalam proses pelaporan kewangan.

 

Tambahnya, perkara itu dirumitkan lagi dengan peletakan jawatan juruaudit luar pada saat akhir. SCIB sejak itu telah mengambil langkah penting untuk memastikan kelewatan dan cabaran sedemikian tidak berulang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Ku Chong Hong berkata syarikat itu mengambil tanggungjawab untuk pematuhan dan tadbir urus korporat dengan sangat serius.

 

“Cabaran baru-baru ini adalah peluang pembelajaran, yang membawa kepada kawalan dalaman dan proses audit yang lebih kukuh.

 

 

Ku Chong Hong
Ku Chong Hong

 

 

“Ahli lembaga pengarah baharu kami telah memainkan peranan penting dalam pemulihan ini, memastikan SCIB bukan sahaja mematuhi tetapi melebihi piawaian yang diharapkan oleh pengawal selia dan pemegang kepentingan kami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

SCIB berkata ia kekal komited untuk mengekalkan komunikasi yang telus dan terbuka dengan semua pihak berkepentingan dan yakin dengan laluan syarikat ke hadapan sebagai peneraju dalam industri, berpandukan prinsip akauntabiliti dan kecemerlangan.  - DagangNews.com