MMHE catat peningkatan untung bersih hampir 3 kali ganda kepada RM10.4 juta pada 1QFY24 | DagangNews Skip to main content

MMHE catat peningkatan untung bersih hampir 3 kali ganda kepada RM10.4 juta pada 1QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih hampir tiga kali ganda pada suku pertama pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) kepada RM10.4 juta berbanding RM3.5 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, peningkatan itu adalah hasil yang lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankan serta peningkatan dalam aktiviti dok kering serta pembaikan.

 

Katanya, pendapatan kumpulan bagi suku berkenaan juga meningkat dua kali ganda kepada RM984.47 juga berbanding RM496.23 juta.

 

Syarikat itu bagaimanapun tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku berkenaan.

 

"Segmen kejuruteraan berat mencatatkan hasil sebanyak RM869.1 juta meningkat sebanyak RM464.9 juta daripada RM404.2 juta pada suku yang sama disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankan.

 

"Selaras dengan peningkatan dalam hasil, segmen tersebut mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM300,000 pada suku semasa berbanding kerugian operasi sebanyak RM8.7 juta pada suku yang sama," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, bahagian marin, terlibat dengan aktiviti membaiki kapal, melaporkan keuntungan operasi sebanyak RM13.8 juta pada 1QFY24.

 

Permintaan yang lebih tinggi untuk aktiviti huluan dijangka memanfaatkan segmen marinnya, kata kumpulan itu, sambil menambah bahawa syarikat itu berhasrat untuk meluaskan pangkalan pelanggannya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, saingan sengit daripada pesaingnya bagi pembaikan kapal pembawa gas asli cecair baharu di negara jiran dan China.

 

"Dijangkakan bahawa landskap geopolitik dan operasi kekal tidak menentu berikutan gangguan rantaian bekalan dan peningkatan harga. 

 

"Oleh itu, Kumpulan akan meneruskan usaha untuk menambah baik strategi kontraknya untuk mengurangkan risiko," katanya. - DagangNews.com