MISC dijangka membida projek FPSO baharu di medan minyak Petrobras – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC dijangka membida projek FPSO baharu di medan minyak Petrobras – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb - MISC Bhd berkemungkinan sedang mengintai peluang untuk membida projek kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) di salah satu medan minyak yang akan ditawarkan oleh Petrobras seperti Barracuda-Caratinga, Marlim Sul-Marlim Leste, serta dua FPSO bagi lembangan Sergipe-Alagoas.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, MISC lebih terbuka untuk membida projek FPSO baharu memandangkan Marechal Duque de Caxias FPSO (Mero-3) yang dibinanya telah menjalani fasa pentauliahan selepas lewat enam bulan daripada jadual.

 

"Memandangkan Mero-3 merupakan FPSO air dalam besar yang pertama di Brazil untuk MISC, ia membuka pintu untuk projek FPSO baharu dengan kerumitan dan skala sebegitu.

 

"Semakan kami menunjukkan bahawa MISC sedang membida projek FPSO baharu di Brazil, yang tidak layak sebelum Mero-3 dan tidak menolak peluang untuk menyertai projek baharu di Afrika," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selepas enam bulan kelewatan daripada jadual, Mero-3 akhirnya menjalani fasa pentauliahan dan bersedia untuk menjadi FPSO pertama yang transit terus ke Brazil dari China.

 

"Kami difahamkan bahawa kadar penyiapan Mero-3 ketika ini berada pada 93.5% kerana pembinaan fizikal telah siap tetapi menunggu pentauliahan luar pesisir di Brazil.

 

"Kami dimaklumkan bahawa pelayaran rasmi Mero-3 adalah pada 18 Februari dan kemudian akan mengambil masa 87 hari untuk tiba di lapangan garam di lembangan Santos, luar pesisir Brazil pada pertengahan Mei.

 

"Selepas itu, kerja-kerja ‘hook-up’ dan pentauliahan akan dilakukan untuk mendapatkan penerimaan sementara," tambahnya.

 

Tanpa sebarang keadaan tidak diduga, HLIB berpendapat bahawa MISC berkemungkinan akan memperoleh sewa satu bulan pada Julai sementara menunggu minyak pertama dicapai pada Ogos, membawa kepada penerimaan dan pengiktirafan muktamad bagi sewa bot kosong.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan kadar sewa Mero-3 sebanyak AS$700,000 sehari.

 

HLIB mengekalkan unjuran pendapatan MISC dan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM7.48 sesaham.

 

Setakat pukul 4:37 petang ini, saham MISC menokok 3 sen atau 0.4% kepada RM7.35 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM32.8 bilion.  - DagangNews.com