MARC beri penarafan stabil ke atas RM1.5 bilion nota hutang Serba Dinamik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MARC beri penarafan stabil ke atas RM1.5 bilion nota hutang Serba Dinamik

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Malaysian Rating Corporation (MARC) meletakkan penarafan prospek stabil ke atas nota hutang islamik Serba Dinamik Bhd. berjumlah RM1.5 bilion. 

 

Menurut MARC, ia memberi penarafan MARC-1IS/A+IS bagi nota program komersial islamik pelbagai mata wang berjumlah RM500 juta dan RM1.5 bilion bagi nota program islamik jangka sederhana dengan had gabungan berjumlah RM1.5 bilion.

 

Penarafan itu diberikan setelah menilai saiz projek O&M Serba Dinamik yang besar disokong oleh prestasi O&M yang mantap dan peralatan yang statik di dalam dan luar negara. 

 

"Malah, ia turut mengambil kira hubungan kukuh Serba Dinamik dengan Petronas di peringkat domestik dan syarikat minyak di luar negara, yang membolehkan kumpulan mengekalkan kontrak O&M diperbaharui yang mantap dan memperoleh kontrak baharu, katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Setakat ini, Serba Dinamik mempunyai nilai projek dalam segmen O&M berjumlah RM5.5 bilion setakat akhir Disember 2020.

 

Pengembangan kumpulan dalam perniagaan kejuruteraan, pembinaan dan pemasangan (EPCC) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sejak akhir-akhir ini telah meningkatkan nilai projek EPCC dan ICT masing-masing setakat akhir Disember lalu kepada RM10.8 bilion dan RM2.4 bilion.

 

Bagaimanapun, segmen O&M kekal menjadi perniagaan utama dalam tempoh sederhana memandangkan perniagaan baharu ini masih di tahap pembangunan.

 

Bagi tahun kewangan 2020, Serba Dinamik merekodkan pertumbuhan perolehan dan keuntungan sebelum cukai masing-masing pada 32.8% tahun ke tahun kepada RM6 bilion dan 29.6% kepada RM706.3 juta dengan margin keuntungan stabil pada 15.1%. - DagangNews.com