KUALA LUMPUR 25 Jun - Malaysian Genomics Resources Centre Bhd (MGRC) telah memeterai perjanjian pengedaran dengan Dx&Vx Co Ltd Korea Selatan dalam satu kerjasama untuk memastikan pengenalan pasaran yang lancar bagi perkhidmatan ujian 'GenomeCheck' oleh syarikat tersebut di Asia Tenggara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGRC berkata ia akan bertanggungjawab untuk mengangkut spesimen yang dikumpul ke lokasi ujian yang ditetapkan menggunakan kaedah yang sesuai.
Ia juga akan bertanggungjawab untuk pembangunan dan pengembangan pasaran melalui aktiviti promosi dan jualan yang giat.
ARTIKEL BERKAITAN: MGRC jalin kerjasama dengan firma kesihatan Korea bagi pacu perkhidmatan ujian genomik
DxVx, sementara itu, akan komited untuk menyediakan bahan promosi dan akademik yang diperlukan untuk menyokong aktiviti pengiklanan dan jualan MGRCT.
Perjanjian ini sah dari 28 Jun 2024 hingga 27 Jun 2025, dan sekiranya tidak diberhentikan oleh mana-mana pihak, ia akan dilanjutkan secara automatik untuk satu tahun lagi. - DagangNews.com








