MAHB setuju kurangkan bayaran pajak WCT Holdings berjumlah RM86 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB setuju kurangkan bayaran pajak WCT Holdings berjumlah RM86 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dilaporkan bersetuju untuk mengurangkan bayaran pajak WCT Holdings Berhad melibatkan tempat letak kereta dan ‘hangarage’ di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang berjumlah RM85,509,000. 

 

Perkara itu diputuskan oleh MAHB menerusi sebuah surat kepada WCT bertarikh 2 April 2021 di mana komitmen bayaran itu akan bermula daripada tarikh penerimaan hingga tamat tempoh pajakan menjelang 2037, menurut laporan tahunan kumpulan hari ini.

 

“Sebagai pertimbangan kepada pengurangan itu, MAHB bersetuju dengan tawaran syarikat untuk memindahkan 10% kepentingan ekuiti ke dalam Segi Astana Sdn. Bhd. tanpa sebarang kos dan bebas bebanan kepada MAHB. 

 

“Selain itu, turut menandatangani perjanjian opsyen jual yang menawarkan MAHB untuk menjual balik 10% kepentingan ekuiti itu kepada kumpulan pada ulang tahun kelima perjanjian opsyen jual berkenaan, berjumlah RM56,793,000 dengan kenaikan 6.90% setahun, terkompaun selama 5 tahun,” jelas WCT hari ini. 

 

Sebagai rekod, WCT memiliki 60% kepentingan dalam anak syarikatnya yang mengendalikan LTSAAS, Subang SkyPark Sdn. Bhd (SSSB) setakat tahun lalu. 

 

SSSB diberikan hak konsesi untuk mengendalikan dan menyelenggara kawasan runcit komersial, tempat letak kereta dan ‘hangarage’ di terminal LTSAAS serta pusat perniagaan penerbangan.

 

WCT memegang aset tak ketara yang terdiri daripada aset konsesi dan kos tolak pelunasan berjumlah RM117.6 juta.

 

Tambah WCT, MAHB juga bersetuju untuk membenarkan syarikat membuat bayaran pajakan bagi tahun ini dalam empat kali ansuran. 

 

Pembayaran ansuran pajakan yang dikurangkan itu perlu dilunaskan pada hari ketujuh setiap suku tahun, iaitu 7 April 2021, 7 Julai 2021, 7 Oktober 2021, dan ansuran pertama akan dibuat dalam masa tujuh hari daripada penerimaan syarikat terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

 

“Syarikat telah memaklumkan MAHB bahawa ia menerima kesemua syarat-syarat berkenaan pada 21 April 2021. 

 

“Namun, keseluruhan transaksi itu belum diselesaikan setakat tarikh laporan tahunan ini,” jelas WCT. 

 

Setakat 12.35 tengah hari, harga saham WCT menyusut 0.015 sen kepada 0.510 sen. - DagangNews.com