Oleh Dominic G. Joseph
[email protected]
KOTA KINABALU 24 Dis – Usul pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan di Parlimen pada 15 Disember lalu, memberikan peluang dan azam yang baharu untuk membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak.
Kelulusan Ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap MA63 juga adalah bukti kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memenuhi keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pelancongan Borneo, Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr. Jennifer Kim Lian Chan berkata, dengan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 pastinya ada perspektif baharu dan positif dari segi pembangunan perdagangan dan ekonomi Sabah dan Sarawak.
''Kedua-dua wilayah ini tidak lagi berstatus negeri. Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber semula jadi, terletak di lokasi yang sangat strategik di Asia untuk menampung aktiviti perdagangan dan pelancongan, mesti dilayan sebagai 'Rakan Sama Rata'," kata beliau kepada DagangNews.com.
Selain dari sektor minyak dan gas kata Prof Dr. Jennifer, sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan adalah pemacu utama pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak.
''Dalam jangka masa yang terdekat kita harap kerajaan pusat akan melaksanakan pertumbuhan sosial dan ekonomi yang lebih seimbang dengan Semenanjung Malaysia," kata beliau.
Menurutnya, lokasi strategik Pelabuhan Sepangar, Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan juga berpotensi menjadikannya sebagai pusat pemindahan dan logistik di Sabah.
“Kita dihubungkan dengan laluan udara dan laut ke semua bandar raya utama di Asia.
''Dengan menaik taraf lapangan terbang dan pelabuhan-pelabuhan utama akan membantu menarik lebih banyak pelancong dan peluang perniagaan ke wilayah kita,” katanya.

Prof. Dr Jennifer menegaskan kelulusan MA63 itu adalah baik untuk kepentingan negara dan rakyat akan mendapat manfaat daripadanya.
Beliau mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mendapat pemahaman yang jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan status sama rata dan apakah hak-hak itu yang boleh dinikmati segera.

''Bagaimanapun, kita memerlukan mekanisme yang lebih holistik dan mantap untuk merealisasikan status ini supaya ekonomi di rantau ini berkembang dengan pesat sambil menarik pelabur perniagaan antarabangsa untuk menerajui pembangunan negeri.
Beliau turut menyarankan agar Kerajaan Sabah mengkaji semula pengecualian Dasar Kabotaj, sama ada ia berkesan atau perlu meminta Kerajaan Pusat memansuhkan sama sekali dasar itu.
Mengenai perbezaan harga barangan, satu kajian telah mengesahkan harga barangan di Sabah lebih mahal berbanding di Semenanjung kerana faktor kos pengangkutan, sekali gus membebankan rakyat bergaji rendah di negeri ini.
Jika dasar ini dimansuhkan sepenuhnya, ia dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan barang ke Sabah sekali gus mengurangkan harga runcit,’’ kata Prof. Dr Jennifer. - DagangNews.com








