Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 April - Lonjakan semula kes harian COVID-19 di negara ini dilihat memberi ancaman kepada pemulihan pusat membeli-belah Pavilion REIT.
MIDF Research berkata, susulan itu, pihaknya menjangkakan prospek pendapatan bagi tahun kewangan 2021 akan suram ekoran situasi berkenaan.
"Kami membuat semakan semula terhadap ramalan pendapatan Pavilion REIT bagi tahun kewangan 2021/2022 kepada -18.3% dan -13.8%.
"Semakan itu mengambil kira kadar pendapatan sewa yang lebih rendah berbanding jangkaan pada suku pertama tahun kewangan 2021.
"Selain itu, kami menjangkakan prospek pendapatan akan suram pada tahun kewangan 2021 susulan peningkatan kes COVID-19," jelas MIDF Research.
Bagi laporan kewangan suku pertama tahun kewangan 2021, Pavilion REIT mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM31.3 juta, susut -22.% berbanding suku sebelumnya.
Mengikut perbandingan tahunan pula, jumlah berkenaan menurun sebanyak 9.7% berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi kurang memberangsangkan itu disebabkan oleh pendapatan sewa yang lebih rendah berbanding jangkaan akibat pelaksanaan PKP 2.0.
Dalam pada itu, Pavilion REIT turut mencatatkan penurunan dalam pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak 4.3% tahun ke tahun.
Semantara NPI Elite Pavilion KL susut sebanyak 46.2% berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya mengekalkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) dan harga sasaran sesaham (TP) Pavillion REIT.
"Kami mengekalkan TP sebanyak RM1.41 bersama saranan 'pegang' saham Pavillion REIT.
"Hasil dividen bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 dijangka pada kadar 44% hingga 4.5% yang pastinya memberi sokongan kepada harga saham," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com








