Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2021/2202 di Putrajaya, 3 Januari 2022.
PUTRAJAYA 3 Jan - Seramai 28,287 mangsa bencana banjir telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sehingga 12 tengah hari tadi.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ciapan ringkas di twitternya hari ini.
“Bagi mereka yang masih belum mendaftar atau menerima manfaat ini, boleh segera menghubungi Pegawai Daerah anda untuk bantuan segera oleh kerajaan,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.
Bayaran bantuan berkenaan disalurkan sejak 27 Dis lepas, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir agak luar biasa yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.


Dalam perutusan Tahun Baharu 2022 sebelum ini, Ismail Sabri berkata bantuan itu akan memanfaatkan lebih 45,000 ketua isi rumah.
Menurutnya angka yang akan menerima bantuan itu boleh bertambah apabila kerajaan selesai mengenal pasti mangsa yang terkesan tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Sementara itu, Perdana Menteri juga mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat membincangkan pengurusan pasca banjir dan persediaan menghadapi gelombang kedua.
''Saya turut menegaskan akan pentingnya penyelarasan pasca banjir dalam usaha kerajaan membantu mereka yang terjejas,'' kata Ismail Sabri.


Bersama beliau adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Ruji Haji Ubi; dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Aminuddin Hassim.
Mesyuarat ini turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Pembangunan Negeri-Negeri serta Ketua-Ketua Jabatan. - DagangNews.com








