KUALA LUMPUR 7 April – Keputusan kerajaan untuk membenarkan entiti swasta, Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) mengambil alih empat syarikat konsesi tol di Lembah Klang adalah satu keputusan yang baik.
Ia bukan sahaja meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh kerajaan, malah juga memberikan kelegaan kepada rakyat yang menggunakan lebuh raya tersebut.
Ahli Akademik dan penganalisis ekonomi, Prof Emeritus, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Barjoyai Bardai berkata: “Pada asasnya kita (kerajaan) dapat jimat lebih RM4 bilion, dari segi aliran tunai sebenar kerana syarikat konsesi tidak akan menaikkan kadar tol.”
“Kadar tol tak payah naik sebab sekarang dah ambil alih oleh kumpulan bebas, (organisasi bukan untung) yang sebenarnya diterajui oleh individu tertentu.
‘’Saya rasa mungkin mereka secara sukarela mengusulkan kepada kerajaan dan kerajaan bersetuju,’’ katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau mengulas kenyataan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin yang menyatakan Kadar tol melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan.
Empat syarikat yang terlibat adalah syarikat konsesi lebuh raya Lembah Klang iaitu Kesas Sdn Bhd (Kesas Expressway), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART Tunnel), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT Expressway), dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Lebuhraya Damansara-Puchong atau LDP).
Prof Barjoyai berkata ALR akan beroperasi sehingga konsesi tamat dan mereka akan dapat membayar RM5 bilion kepada syarikat konsesi tersebut daripada tol yang dikutip dari empat lebuh raya itu.
Katanya, selepas ini dibayar, barulah mereka akan kembalikan lebuh raya kepada kerajaan.

Prof Barjoyai berkata mereka yang menerajui ALR melakukan ini secara sukarela, untuk menyumbang kepada negara.
“Ini sememangnya satu usaha yang mulia jika ini berjaya, boleh menjadi model yang baik yang boleh kita contohi dalam perkara lain.
“Kita mempunyai begitu banyak konsesi yang telah berikan dan kerajaan telah menswastakan banyak perkara, jadi kita sebenarnya boleh menstruktur semula dasar penswastaan menggunakan mekanisme ini,” ujar Pro Barjoyai.
Ditanya mengenai dakwaan Pakatan Harapan bahawa itu adalah idea mereka, beliau berkata seandainya betul itu idea mereka tetapi gabungan itu akan menggunakan wang kerajaan, bermakna kerajaan perlu membayar RM6 bilion kepada syarikat konsesi.
Dalam kes ini, tiada wang yang keluar, secara asasnya syarikat konsesi juga bersetuju bahawa bayaran akan dibuat secara ansuran berdasarkan kutipan tol bersih.
Prof Barjoyai berkata, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan dan jaminan pembiayaan serta menanggung kos penyenggaraan dan operasi bagi transaksi penstrukturan semula tol dan ternyata ‘berbeza dengan saranan PH’.
Sebagai saranan, beliau berkata peranan kerajaan di sini adalah memberi jaminan bahawa sekiranya berlaku sesuatu terhadap ALR, ia akan mengambil alih.
“Saya rasa rakyat harus mengalu-alukan apa yang akan dilakukan oleh ALR,” katanya.
Menyatakan kehairanan, Prof Barjoyai berkata: ‘’Saya pun tidak tahu atas sebab tertentu mengapa syarikat konsesi bersetuju kerana sebelum mereka ditawarkan RM6 bilion oleh PH, pemegang konsesi menolak.” – DagangNews.com








