KTI Landmark meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

KTI Landmark meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - KTI Landmark Bhd (KTI) memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, tawaran awam permulaan (IPO) terdiri daripada terbitan awam sebanyak 160 juta saham baharu dan tawaran penjualan 45 juta saham sedia ada, mewakili 20% dan 5.6% daripada jumlah modal saham yang diperbesarkan. 

 

Menerusi perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 80 juta saham baharu yang disediakan kepada peruntukan borang awam dan merah jambu manakala 80 juta saham baharu disediakan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Bagi bahagian tawaran jualan pula, 20 juta saham dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI manakala baki 25 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTI, Dr Gordon Loke berkata, kumpulan itu telah berkembang secara semula jadi dalam tempoh 40 tahun lalu sejak penubuhannya sebagai penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan.

 

“Syarikat ini telah mengembangkan perkhidmatan pembinaannya merangkumi reka bentuk dan binaan serta pembangunan hartanah, dilengkapi dengan pembuatan dalaman komponen sistem bangunan perindustrian (IBS).

 

"Skor IBS tertinggi produk kami ialah 94% dan QLASSIC ialah 77%," katanya.

 

Pada masa ini, KTI projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.3 bilion yang sedang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tuaran, Sandakan dan Papar dengan 30% adalah projek yang dianugerahkan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dan selebihnya adalah projek usaha sama atau projek sendiri yang akan dilaksanakan sehingga 2031.

 

Antara projek yang dibangunkan termasuk Taman Wawasan di Beaufort, Taman La Gloxinia di Papar, Taman Seri Lemawang di Tuaran serta Taman Nelly, Taman Lavender dan The Logg di Kota Kinabalu.

 

KTI menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang Jun 2024.

 

M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.- DagangNews.com