Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Mei - Pasaran saham tempatan berjaya ditutup tinggi sedikit dipacu oleh kaunter perladangan apabila niaga hadapan minyak sawit Malaysia mencecah paras tertinggi, RM4,200 sejak Mac 2008.
Ketika ditutup pada 5 petang, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 2.66 mata atau 0.17% kepada 1,578.33.
Bagaimanapun, dagangan pada petang ini berakhir negatif apabila jumlah kaunter rugi, 772 mengatasi 369 kaunter untung.
Menurut Bloomberg, saham-saham Asia bercampur-campur dengan ekuiti di China menyusut.
Ini ekoran kerajaan di negara itu mengumumkan penangguhan rasmi dialog ekonomi dengan Australia, sekali gus memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Sementara itu, bagi pasaran kewangan pula, ringgit berakhir lebih rendah daripada penutupan semalam pada kadar RM4.1190/4.1210 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%.
Ini berdasarkan andaian ekonomi negara bertambah baik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini dijangka tidak mendatangkan impak teruk. - DagangNews.com








