Khazanah bayar dividen RM1 bilion kepada kerajaan, untung 2023 meningkat RM5.9 bilion | DagangNews Skip to main content

Khazanah bayar dividen RM1 bilion kepada kerajaan, untung 2023 meningkat RM5.9 bilion

Keuntungan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) meningkat kepada RM5.9 bilion pada tahun kewangan 2023, daripada RM1.6 bilion pada 2022. /Gambar hiasan laman web Khazanah
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Mac 2024 - Keuntungan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) meningkat kepada RM5.9 bilion pada tahun kewangan 2023, daripada RM1.6 bilion pada 2022, didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat pelaburannya, keuntungan nilai saksama, dan pemeliharaan modal. 

 

Syarikat pelaburan negara itu berkata, nilai aset bersihnya (NAB) meningkat daripada RM33 bilion pada tahun 2004 kepada RM85 bilion pada 2023, menghasilkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 5.1%, memenuhi mandat Khazanah untuk menyampaikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi yang dicatatkan adalah lebih kukuh pada tahun 2023 dengan keuntungan yang melebihi tiga kali ganda berbanding tahun kewangan 2022. 

 

Katanya, 2023 merupakan tahun yang mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan, kadar inflasi tinggi yang mereda, keadaan monetari yang ketat, rali tertumpu dalam kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik yang berterusan.

 

 

Namun begitu, Khazanah kekal berdaya tahan dan menunjukkan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan yang mampan sambil melabur untuk masa depan dan menerapkan kemampanan merentas operasi. 

 

"Komitmen kami tetap utuh dan kami terus memanfaatkan usaha penciptaan nilai dan pendekatan pengimbangan semula portfolio untuk mengukuhkan penyata imbangan kami dan membina kedudukan kewangan yang berdaya tahan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

khazanah
Khazanah mengumumkan prestasi kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2023.

 

Khazanah membayar dividen sebanyak RM1 bilion untuk tahun 2023 kepada Kerajaan Malaysia, dengan dividen terkumpul sebanyak RM18.1 bilion sejak tahun 2004. Bagi 2022, Khazanah mengisytiharkan dividen RM500 juta untuk kerajaan Malaysia

 

Sementara itu, hutang Khazanah pula meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion dari RM49.1 bilion tahun sebelumnya dengan Nisbah Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7x.

 

"Khazanah terus melaksanakan strategi dan pendekatannya yang diperbaharui pada 2023, berpaksikan Memajukan Malaysia untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia," kata Khazanah.

feisal
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan tahunan Khazanah meningkat kepada RM1.6 bilion, isytihar dividen RM500 juta untuk 2022

 

Sementara itu, menurut Amirul Feisal, 2024 dijangka menjadi satu lagi tahun yang mencabar di peringkat global dengan ketidaktentuan politik yang memuncak, Memajukan Malaysia akan kekal sebagai tema utama Khazanah untuk mengemudi strategi dan tindakan ke arah menyampaikan pembangunan negara dan memastikan masa depan yang mampan untuk Malaysia.

 

“Kami optimis dalam menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini, satu pencapaian yang dicerminkan melalui usaha bersama kami dalam membangunkan negara, sebagai dana kekayaan berdaulat. 

 

"Bergerak kehadapan, kami menyasarkan untuk mengembangkan portfolio dengan melaksanakan rancangan penciptaan nilai untuk aset Malaysia kami dan memastikan portfolio terpelbagai melalui pengimbangan semula dan pendekatan pelaburan yang berdisiplin.

 

"Usaha dan komitmen kami kepada pihak berkepentingan akan terus selari dengan matlamat Ekonomi MADANI, memperkukuh pertumbuhan inklusif bagi semua,” jelasnya.

 

Strategi Khazanah untuk Malaysia akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama yang akan menjadi panduan transformasi dan kejayaan portfolio di Malaysia di tengah-tengah aliran mega global yang berkembang:

 

•Ketersambungan: Memperkuat peranan Malaysia sebagai hab melalui pelaburan strategik dalam MAHB dan MAGB, penting untuk menarik modal, pelabur, dan bakat selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023.

 

lestra

 

•Peralihan Tenaga: Menyokong matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050 melalui kepemimpinan Khazanah dalam pelaksanaan NETR TNB dan projek tenaga hijau UEM Lestra, untuk memastikan peralihan tenaga yang adil dan mampan. UEM Lestra,bersama syarikat-syarikat lain dalam Kumpulan UEM akan melaksanakan inisiatif inidengan melabur dan membina juara domestik dalam pelbagai sektor hijau yang terdiridaripada Tenaga Boleh Diperbaharui dan Penyimpanan serta Bangunan Hijau danKecekapan Tenaga.

 

•Digitalisasi: Menerajui transformasi digital di seluruh syarikat portfolionya untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing global.

 

•Bidang Pemangkin/Pertumbuhan Baharu: Melalui inisiatif Dana Impak, Khazanah menyasarkan untuk mencergaskan ekosistem, bekerjasama dengan pihak berkepentingan, dan mempengaruhi dasar untuk pertumbuhan ekonomi yang mampandan daya tahan.

 

"Pendekatan berasaskan misi ini dijangka menjadi panduan pulangan jangka panjang dan nilai mampan untuk negara, sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menaikkan siling dan lantai.

 

"Pada tahun 2024, Dana Impak, melalui gabungan inisiatif dan program sedia ada dan baharu, menyasarkan untuk memberikan tambahan RM600 juta untuk syarikat Malaysia. 

 

"Pelaburan kewangan itu bertujuan untuk menyokong syarikat pelbagai saiz dan peringkat pertumbuhan daripada syarikat pemula, PMKS hingga syarikat bersaiz sederhana, dengan dua objektif untuk membimbing juara tempatan dan serantau, serta memangkin pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara," kata Khazanah.

 

Selain itu, Khazanah bersama-sama GLC dan GLIC lain komited untuk menyokong usaha Kerajaan dalam memperkasa dan memperbaharui agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.- DagangNews.com