Kenanga Research ‘neutral’ terhadap sektor REIT ekoran tekanan inflasi, subsidi bahan api bersasar jejas sentimen pengguna | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ‘neutral’ terhadap sektor REIT ekoran tekanan inflasi, subsidi bahan api bersasar jejas sentimen pengguna

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Sept - Kenanga Research mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) berikutan sentimen pengguna diheret inflasi dan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar, yang mungkin menjejaskan kapasiti perbelanjaan.

 

Walaupun ruang pejabat menjadi lebih relevan, firma penyelidikan itu berkata tahap penghunian keseluruhan mungkin kekal rendah disebabkan penambahan bekalan ruang pejabat baharu boleh mengatasi peningkatan sederhana penggunaan.

 

Memetik laporan pasaran hartanah separuh pertama 2023 (1H23) oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Kenanga Research berkata penyiapan beberapa bangunan pejabat baharu telah menyuntik tambahan 61,000 meter persegi ke dalam pasaran, yang berkemungkinan melemahkan lagi keinginan untuk lebihan bekalan ruang pejabat.

 

Bagaimanapun, laporan NAPIC itu mendedahkan bahawa kadar penghunian meningkat secara beransur-ansur dengan ruang runcit di kompleks membeli-belah diduduki pada paras 76.6%, yang menandakan sedikit kelegaan bagi segmen pejabat dan runcit.

 

"Kami percaya industri boleh memperoleh manfaat daripada peningkatan selera untuk perbelanjaan runcit fizikal, terutamanya dilihat di lokasi utama," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tambahnya, kaedah bekerja di dalam pejabat yang telah kembali dilaksanakan juga menunjukkan beberapa sokongan untuk permintaan pejabat.

 

Pilihan utama Kenanga Research bagi sektor REIT adalah KLCCP Stapled Group (harga sasaran [TP]: RM7.18) dan Sunway REIT (TP: RM1.63) disebabkan firma itu percaya nisbah risiko-kepada-ganjaran mereka menggalakkan.

 

“Kami menjangkakan KLCC kekal berdaya tahan disebabkan lokasi dan asetnya kukuh, yang kami percaya kurang terdedah kepada tekanan perbelanjaan.

 

“Sebaliknya, Sunway REIT mungkin mempunyai penimbal seimbang terhadap pendedahan risiko sektor berikutan kepelbagaian aset dan ekuiti jenama yang kukuh,” ujarnya.

 

Sementara itu, Kenanga Research terhadap Axis REIT kerana kadar penghuniannya telah menyaksikan penurunan ketara daripada 95% pada akhir Disember 2022 kepada 89% pada akhir Jun 2023.

 

"Kemerosotan ini telah memberi kesan buruk yang ketara ke atas pendapatannya dan mungkin menandakan ketidaktentuan jangka terdekat," tambahnya.  - DagangNews.com