KUALA LUMPUR 20 Ogos - Kenanga Research berkata, perdagangan luar Malaysia 2024 masih terdedah kepada risiko penurunan meskipun tetap mengekalkan unjuran pertumbuhan yang optimis.
Firma penyelidikan itu yang mengekalkan ramalan pertumbuhan eksport 2024 pada 7.3% (2023: -8.0%) berkata, tujuh bulan pertama 2024 menyaksikan eksport meningkat 5.1% tahun ke tahun, sedikit lebih tinggi berbanding pertumbuhan enam bulan pertama tahun ini sebanyak 3.9%.
"Ini menunjukkan pemulihan eksport yang beransur-ansur walaupun risiko masih ada. Kami menjangka pertumbuhan akan meningkat dalam separuh kedua 2024, didorong oleh asas yang rendah dari tahun lepas dan kitaran teknologi yang dijangkakan.
"Prospek ini disokong oleh Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), yang menunjukkan jualan semikonduktor global meningkat sebanyak 18.3% pada suku kedua 2024 (suku pertama 2024: 15.2%) kepada AS$149.9 bilion, menunjukkan pemulihan yang kukuh," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Semenara itu, Kenanga Research berkata, walaupun mengekalkan pandangan optimis terhadap perdagangan luar, ramalan ini masih terdedah kepada risiko penurunan termasuk pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan.
Kata firma penyelidikan itu, eksport Malaysia ke negara China setakat ini masih lembap, menurun sebanyak 3.0%.
"Selain itu, kemungkinan ekonomi di AS yang perlahan boleh menjejaskan pandangan kami, memandangkan pertumbuhan eksport semasa telah diperkukuhkan oleh permintaan tinggi dari AS, seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan sebanyak 14.9% setakat tahun ini," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan Malaysia Julai 2024 cecah RM255.88 bilion, eksport naik 12.3% - MITI
Kenanga Research berkata, pihaknya baru-baru ini menyemak ramalan pertumbuhan KDNK 2024 kepada 5.0% (2023: 3.6%) dari julat ramalan 4.5% - 5.0%, selepas pertumbuhan KDNK suku kedua 2024 yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.9%.
"Pertumbuhan dijangka akan sederhana dalam suku-suku yang tinggal disebabkan oleh kesan asas dan ketidakpastian ekonomi global, tetapi akan kekal agak kuat berdasarkan permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan dalam eksport," ujarnya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) semalam memaklumkan perdagangan Malaysia pada Julai 2024 mencecah jumlah RM255.88 bilion, melonjak 18.3% tahun ke tahun (YoY) dan terpantas dalam tempoh 21 bulan.
Menurut MITI, nilai itu tertinggi sejak Oktober 2022 dengan eksport meneruskan trajektori meningkat untuk bulan keempat berturut-turut, berkembang sebanyak 12.3% kepada RM131.15 bilion manakala import meningkat sebanyak 25.4% kepada RM124.73 bilion. - DagangNews.com








