Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mei - Kenanga Research menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 kepada 2.1% berbanding anggaran awal, 0.4%.
Pertumbuhan positif ini berikutan prestasi eksport pada Mac yang lebih kukuh di luar jangkaan dengan berkembang 31% tahun ke tahun menjadikan pertumbuhan suku pertama pada 18.2%, berbanding 5.1% pada suku keempat 2020.
Jelas firma itu, eksport sektor pembuatan merekodkan prestasi kukuh dengan berkembang 22.7% berbanding suku keempat 2020, 7.6%.
Ini berikutan peningkatan penggunaan teknologi di tengah-tengah permintaan tinggi bagi produk berasaskan teknologi maklumat dan komoditi apabila ekonomi dibuka semula.
Pada masa sama, eksport berasaskan pertanian juga melonjak 43.8% pada Mac dan kekal tinggi secara relatif sepanjang suku pertama 2021 pada 15.2% (berbanding 27.7% pada suku keempat 2020).
Menurutnya, limpahan daripada pertumbuhan eksport pembuatan ini kebanyakannya adalah dari segi permintaan.
"Kami menganggarkan eksport nilai tambah akan berkembang 13.5% (berbanding -1.8% pada suku keempat 2020) menyumbang 8.2 mata asas kepada keseluruhan KDNK suku pertama.
"Dengan mengambil kira pertumbuhan import nilai tambah diunjur lebih rendah pada 10.5% (5.8 mata asas), eksport bersih dijangka melonjak 44.4%, sekali gus menyumbang 2.4 mata asas kepada pertumbuhan KDNK," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kenanga Research berkata, sumbangan eksport bersih yang lebih tinggi terhadap KDNK pada suku pertama 2021 jauh melebihi pertumbuhan negatif daripada perbelanjaan swasta (-1.7 mata asas) yang seterusnya menjadikan keseluruhan sumbangan pertumbuhan permintaan dalam negeri kepada -0.3 mata asas.
Ini disebabkan oleh pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 13 Januari dan dilanjutkan sehingga pertengahan Mac.
"Berbanding PKP 1.0, pelaksanaan PKP 2.0 dijangka kurang memberi kesan yang teruk memandangkan kebanyakan ekonomi dibenarkan beroperasi tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," tambahnya.
Tahun lalu, KDNK negara menguncup kepada 5.6% setelah tiga suku berturut-turut merekodkan pertumbuhan negatif akibat pandemik COVID-19.
Pada 2019, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK pada 4.3%.
Bagi tahun ini, Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi akan berkembang antara 6 hingga 7.5%, lebih rendah berbanding unjuran awal kerajaan antara 6.5 hingga 7.5% berikutan ketidaktentuan situasi COVID-19.
Bagaimanapun, Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini pada 6.5% setelah melihat beberapa petunjuk ekonomi yang positif.
Menurutnya, ekonomi dijangka menjejaki pemulihan yang kukuh mulai suku kedua 2021 berikutan kesan asas dan disokong dengan langkah-langkah fiskal serta pembukaan semula ekonomi.
"Namun, situasi semasa COVID-19 masih membimbangkan terutama dengan varian baharu wabak ini dan lonjakan jangkitan baharu sama ada di dalam mahupun luar negara.
"Tetapi, kesan asas dan eksport yang kukuh akan mempercepatkan pertumbuhan suku kedua kepada 14.3% atau lebih tinggi bergantung kepada kesan perbelanjaan pakej rangsangan dan pelancaran vaksin berjalan lancar," jelasnya.
Ini semakin diperkukuhkan dengan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan kerajaan Mac lalu dilihat dapat menyokong usaha pemulihan ekonomi.
"Di samping itu, ia turut disokong dengan kemajuan program vaksin yang lebih meluas, penyambungan semula projek mega infrastruktur dan sentimen pengguna semakin bertambah baik," katanya. - DagangNews.com








