Jumbo Arena buka Pusat 3S Isuzu baharu di Kluang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumbo Arena buka Pusat 3S Isuzu baharu di Kluang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Pusat 3S Isuzu kini dibuka di Kluang, Johor menampilkan barisan kemudahan terbaharu antara paling lengkap bagi memberikan pengalaman perniagaan moden kepada pelanggan, dan membekalkan inventori alat ganti yang komprehensif.

 

Cawangan yang dikendalikan Jumbo Arena Sdn Bhd itu menampilkan identiti korporat terkini dan menyediakan keperluan lengkap bagi jualan dan aktiviti lepas jualan yang berkaitan untuk menyokong perkembangan populasi pemilik Isuzu yang semakin bertambah di kawasan sekitar Kluang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe memuji komitmen pihak pengurusan Jumbo Arena dan kesungguhan mereka untuk mengembangkan perniagaan Isuzu di Johor.

 

"Bermula dengan hanya sebuah lot kedai empat tahun lalu, pembukaan Pusat 3S Isuzu yang menyeluruh hari ini adalah bukti kepada kerja keras serta dedikasi yang diberikan pasukan Jumbo Arena dalam usaha untuk membangunkan lagi perniagaan Isuzu di Kluang," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Pusat 3S Isuzu Kluang mempertingkatkan pengalaman perniagaannya dengan menawarkan barisan peranti dan perisian baharu di bawah satu bumbung. 

 

Bilik pamerannya yang luas boleh mempamerkan dua kenderaan sekali gus, dan panel maklumat digital mesra alam pula memberikan rujukan mudah terhadap barisan model Isuzu sedia ada, sama ada lori mahupun trak pikap.

 

Pelanggan yang menunggu kenderaan mereka diservis pula boleh berehat di ruang menunggu yang turut disediakan dengan kemudahan pengecasan serta hidangan ringan. Dengan lima ruang servis tersedia, tempoh menunggu kenderaan siap juga lebih pendek.

 

 

isuzu

 

 

Pengarah Urusan Jumbo Arena, Yeo Ann Seong berterima kasih kepada sokongan pelanggan di Johor serta kesungguhan pasukannya untuk lebih maju dalam memperkukuhkan perniagaan mereka.

 

Katanya, pihaknya bernasib baik untuk membina rangkaian pelanggan lebih awal, yang telah menyokong sejak kami memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di Kluang dahulu. 

 

 

isuzu

 

 

"Hari ini, saya berbangga yang pasukan kami mampu menawarkan kepada pelanggan pengalaman Isuzu yang lebih lengkap, membantu memudahkan pergerakan mereka sama ada untuk riadah ataupun perniagaan," katanya.

 

Pusat 3S Isuzu Kluang terletak di 16, Jalan Bintang 1 dan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. - DagangNews.com